'Anak saya bukan sasaran, dia cuma tak sempat lari' - Bapa pelajar ditikam di sekolah
Austin Camoens
austin@nst.com.my
Dia berkata, doktor memaklumkan bahawa anaknya mengalami beberapa kecederaan, termasuk pada paru-paru kiri.
"Semasa saya sampai, keadaannya agak teruk. Tidak lama kemudian, mereka membawanya untuk menjalani imbasan bagi mengenal pasti tahap kecederaannya.
"Paru-paru kirinya tercedera. Dia sedar dan boleh bercakap," katanya ketika ditemui pemberita di hospital hari ini.
Mohd Firuz mendakwa anaknya mengalami kira-kira 14 kesan tikaman, kebanyakannya di belakang badan, selain kecederaan lain di muka dan kepala.
Dia berkata, anaknya mengenali pelajar berusia 15 tahun yang dipercayai terbabit dalam insiden itu kerana mereka pernah menjadi rakan sekelas pada tahun lalu.
"Mereka kenal antara satu sama lain. Mereka rakan sekelas tahun lepas," katanya.
Mohd Firuz berkata, dia tidak percaya anaknya sasaran utama dalam serangan itu.
"Saya rasa anak saya bukan sasaran. Mungkin dia mahu menyasarkan orang lain, tetapi anak saya kebetulan berada paling dekat dengannya.
"Mungkin juga kerana badan anak saya agak besar, dia tidak sempat melarikan diri," katanya.
Menceritakan detik awal kejadian, Mohd Firuz berkata, dia sedang bekerja menyusun barang apabila menyedari terdapat beberapa panggilan tidak dijawab pada telefon bimbitnya.
"Apabila saya melihat telefon, saya tertanya-tanya mengapa ada begitu banyak panggilan tidak dijawab. Saya kemudian nampak guru sekolahnya ada menelefon.
"Apabila saya menelefon semula, barulah saya tahu apa yang telah berlaku.
"Pada mulanya, saya fikir anak saya mungkin jatuh sakit atau demam. Saya terkejut apabila mendapat tahu dia telah ditikam," katanya sambil menambah bahawa doktor memaklumkan mereka sedang berusaha mengeluarkan darah daripada paru-paru anaknya yang tercedera.
Mohd Firuz, yang mempunyai tiga anak dan mangsa adalah anak kedua berkata, remaja itu belajar di sekolah berkenaan sejak tiga tahun lalu dan tidak pernah mengadu diganggu atau mempunyai masalah dengan pelajar lain sebelum ini.
Ditanya mengenai tahap keselamatan di sekolah, Mohd Firuz berkata, penambahbaikan perlu dilakukan susulan insiden berkenaan.
"Selepas melihat apa yang berlaku hari ini, saya rasa keselamatan perlu dipertingkatkan.
"Perlu ada pemeriksaan yang betul di pintu masuk sebelum sesiapa sahaja dibenarkan masuk ke dalam sekolah," katanya.
Dia berkata, dia sedih dengan kejadian itu namun kini mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan anaknya.
"Semestinya saya kesal perkara ini berlaku, tetapi ia sudah pun terjadi. Kita kena reda," katanya.
Disiarkan pada: Julai 6, 2026 @ 2:44pm
#harianmetro