Itu hari semasa berjumpa dengan seorang ustazah yang sudah dikenali ini, kami duk bersembang tentang bagaimanalah beliau uruskan masa.
Ceramah, kuliah, masuk tv, kadang-kadang muncul di surau kami dan apabila beliau dah di pentas, pegang mic beliau akan cerita tentang anak dan macam-macam hal.
Kata beliau, beliau juga ada 24 jam yang sama macam kita semua. Cumanya, beliau selalu rasa lebih. Ikut logik memang tak boleh buat semua, namun beliau berjaya buat.
Tipsnya ada 1 sahaja. Iaitu gembirakan suami.
Sibuk macam mana pun, ada kuliah, ceramah, kelas, surau, masjid, dewan besar mana pun, kena gembirakan suami.
Macam mana nak buat? Beliau macam tanya kepada saya. Kemudian beliau jawab sendiri.
1. Sarapan. Sibuk bagaimanapun, minuman pertama untuk suami, isteri kena sediakan. Panaskan air, buat minuman kegemaran dia. Dia akan gembira. Kalau dia nak makan, kena tanya dia malam sebelum nak tidur, baru kita sempat sediakan. Kalau tak, bahaya. Kita akan tergopoh gapah.
2. Suami pun bekerja. Kita pun bekerja. Jadi apa yang wajar kita buat ialah apabila sampai ke tempat kerja, Whatsapp sepatah. “Bang, saya dah sampai. I love you.”
Itu akan buat suami gembira. Ha, sebelum keluar rumah, pastikan salam dan cium tangan dia.
Pergi mana-mana pun, beliau akan Whatsapp walau ke pasar dan kedai runcit.
3. Apabila dengan anak-anak. Sentiasa didik mereka supaya menghormati ayah mereka. Ajar anak apabila ayah penat, apa yang mereka patut buat. Apabila bercuti, apa yang patut buat. Kena ajar dan didik 1 demi 1. Iya, kita bekerja, suami pun sama.
Ada ramai wanita di luar sana bergaduh bab didikan anak itu kena sama-sama dengan suami.
Ada betulnya, tak payah bergaduh. Namun, dalam diri ibu, Allah berikan sentuhan yang berbeza dari ayah. Oleh sebab itu biar ayah jadi pemimpin, ibu jadi pendidik di rumah.
Seperti Huma Hatun, ibu kepada Sultan Muhammad Al-Fateh yang mendidik dari tangannya sendiri.
4. Bab kemas rumah, sekiranya kita terlalu penat, belajar bercerita dengan suami. Tidak marah, tidak membebel. Sama-sama kerja, eloknya sama-sama buat.
Walaupun realitinya memang isteri selalu beralah kena buat, banyaklah bersabar. Ingat, rumah yang kadang berterabur kerana anak dan kemudian dikemas-kemas adalah syurga. Jadi pelihara syurga tersebut dari kepanasan marah dan bertengkar bab tanggungjawab mengemas.
Sesekali ingatkan suami, cukup sekadar teguran lembut dan manja-manja. Suami akan ok.
5. Jadi wanita, banyaknya Allah beri kelebihan bab sabar, tolak ansur dan beralah. Jadi gunakan ia sebagai bentuk kebaikan.
Contohnya:
Kita penat, suami pun penat. Namun demi menjaga anak-anak yang semakin membesar, kita beralah.
Ya, ramai orang tak setuju dengan beliau. Paksa suami begitu begini, namun akhirnya anak-anak ini akan kembali ke ketiak ibu.
Sama juga jika penat nak masak, cakap elok-elok dengan suami, tolak ansur rumah tangga mesti ada yang memulakannya. Ajak suami keluar, makan sama-sama dan didik anak-anak behave sebaiknya.
Jadi inilah yang beliau buat semua itu untuk keluarga.
Kata beliau, seorang suami yang gembira adalah syurga buat beliau, kegembiraan suami adalah kegembiraan beliau juga. Dan oleh sebab itu beliau dikurniakan rezeki waktu dan masa yang banyak, sentiasa dapat balik lebih awal dari suami.
Sentiasa dapat bersama anak-anak walau sesibuk mana.
Dan yang paling besar, rezeki berumah tangga. Belum ada kesusahan dari sudut wang, sudut harta dan sebagainya. Semua serba serbi cukup.
Saya mahu tag dan tulis nama beliau, beliau tak kasi. Cukup saya tuliskan begini sahaja.
Terima kasih buat para isteri yang selalu korbankan kasih sayang buat kami, semoga kalian sentiasa diberkati, dirahmati dan terus dilindungi Allah.
Selamat hari wanita,
Khairul Hakimin Muhammad.