KENYATAAN MEDIA.
UNTUK SIARAN SEGERA
MALAYSIA BERALIH KEPADA SKALA LEBIH BESAR DALAM PEMBINAAN MODULAR BAGI MEMPERKUKUH DAYA SAING INDUSTRI
.
JOHOR BAHRU, 9 September 2026: Malaysia kini memberi tumpuan kepada peluasan penggunaan pembinaan modular dalam industri pembinaan bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan, kualiti serta penyampaian projek yang dipacu teknologi, dengan fasa seterusnya memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem yang diperlukan untuk membawa pembinaan modular daripada projek tertentu kepada skala industri.
.
Perkara tersebut menjadi fokus pada BINA: Modular Asia Forum 2026, anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), yang menghimpunkan pemain industri, pembuat dasar, penyedia teknologi, pelabur dan akademia bagi meneroka bagaimana dasar, inovasi dan pelaburan dapat mempercepatkan pembangunan pembinaan modular di Malaysia.
.
Bertemakan “Building the Future of Asia: Scaling Modular Construction Through Policy, Innovation & Investment”, forum tahun ini memberi tumpuan kepada keperluan untuk melihat pembinaan modular melangkaui aspek teknologi semata-mata, kepada pembangunan ekosistem yang lebih menyeluruh merangkumi reka bentuk, pembuatan, rantaian bekalan, pembiayaan, pembangunan kemahiran dan permintaan pasaran.
.
Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Sr Ahmad Farrin Mokhtar, berkata, pembinaan modular mewakili perubahan terhadap cara industri melaksanakan pembinaan, daripada pendekatan yang banyak bergantung kepada aktiviti di tapak kepada pendekatan yang lebih berasaskan pembuatan, standardisasi, teknologi digital, kawalan kualiti dan integrasi rantaian bekalan.
.
“Dalam erti kata lain, kita sedang membawa prinsip perindustrian atau industrialisation ke dalam industri pembinaan,” katanya.
.
Menurut beliau, cabaran seterusnya adalah untuk membawa pembinaan modular daripada projek tertentu kepada penggunaan pada skala industri. Ini memerlukan kerjasama merentas ekosistem, termasuk dasar dan peraturan yang jelas, proses kelulusan yang bersesuaian, keupayaan reka bentuk dan pembuatan, rantaian bekalan yang kukuh, kapasiti pengeluaran, tenaga kerja berkemahiran, model pembiayaan serta permintaan pasaran yang konsisten.
.
Pendekatan tersebut juga selaras dengan agenda transformasi industri pembinaan negara. Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), 2026–2030 memberi penekanan kepada penggunaan teknologi pembinaan moden termasuk Industrialised Building System (IBS) dan Building Information Modelling (BIM), khususnya dalam usaha memperkukuh penyediaan perumahan serta meningkatkan kecekapan pelaksanaan pembangunan. Jabatan Kerja Raya (JKR) dan CIDB juga sedang bekerjasama dalam pelaksanaan projek rintis pembinaan modular atau Prefabricated Prefinished Volumetric Construction (PPVC) di bawah RMK13.
.
Di peringkat industri, pembinaan modular turut menyokong hala tuju Dasar Pembinaan Negara 2030 dan Pelan Tindakan Pembinaan 2026 - 2030 (CAP30), yang memberi penekanan kepada penerapan teknologi, pendigitalan, pembangunan keupayaan industri, pembangunan kompetensi serta peningkatan daya saing. CIDB turut memberi perhatian khusus kepada pembangunan Malaysia’s Modular Construction Roadmap 2030 sebagai hala tuju yang lebih tersusun bagi pembangunan ekosistem pembinaan modular negara.
.
Selain meningkatkan kecekapan penyampaian projek, pembangunan ekosistem pembinaan modular berpotensi membuka peluang di sepanjang rantaian nilai yang lebih luas, termasuk kepada pengilang, kontraktor, pemaju, perunding, penyedia teknologi dan institusi kewangan. Perbincangan di BINA turut meneliti aspek pelaburan dan pengkomersialan, termasuk potensi pulangan melalui kelebihan dari segi kepantasan, kepastian penyampaian dan kebolehskalaan.
.
Malaysia juga mempunyai peluang untuk memanfaatkan asas industri pembinaan, keupayaan kejuruteraan, pengalaman dalam IBS, ekosistem pembuatan serta kedudukan geografinya bagi membina kedudukan yang lebih kukuh dalam rantaian nilai pembinaan modular serantau.
.
Pertumbuhan pembangunan perumahan, kemudahan sosial, infrastruktur digital, pusat data, kemudahan industri dan projek