Soalan: Saya jarang tengok tuan ada haters atau kena kecam. Kalau tuan kena, apa yang tuan buat?
Jawapan: Itu antara kebaikan menulis #content kebaikan. Kita menyebarkan hal yang elok-elok, follower yang kita dapat pun yang bagus-bagus.
Ada 2 peristiwa yang saya sukar nak lupa bab kena kecam.
1. Tulisan saya tahun lalu yang menyebabkan ada satu pihak salah faham. Saya menyokong para ilmuan menyebarkan ilmu, namun ada sedikit teguran saya yang mereka sukar nak terima lalu saya dikecam hingga semua hal peribadi saya dimuat naik.
Caci maki berterusan di page lagi dan menjadikan saya seorang musuh yang tiada tempat untuk bercakap semula.
Kesilapan saya ialah teguran saya itu tidak perlu dan tidak berbaloi. Saya hanya perlu diam dan teruskan posting saya yang lain. Tak semua hal saya perlu tulis dan tidak semua perkara juga saya pandai.
Saya diblock.
2. Baru-baru ini ada kawan saya menulis komen yang mengguris hati saya, keluarga serta orang yang saya tulis kisahnya. Oleh itu saya jawab komen tersebut dengan mengguris hatinya pula.
Lalu semua kawan-kawannya serta ada ahli keluarganya datang dan membantai saya di ruang komen tersebut dan ada beberapa sesi di ruangan lain.
Jujurnya, saya hanya perlu bertahan tidak jawab komen tersebut. Kesilapan saya ialah terlalu emosi dan saya terikut-ikut langkahnya.
Guru saya pesan, “kau buat apa yang dia buat pada kau, jadi kau dengan dia sama sahaja.”
Lalu saya lekas-lekas meminta maaf. Namun semua dah terlambat, media sosial yang tulisan kita ini adalah panah-panah tajam, telah pun menusuk ke jiwa masing-masing, lalu luka dan berdarah teruk.
Saya diblock.
***
Ada haters atau tidak, kita yang putuskan. Media sosial adalah medan menyebarkan kebaikan melalui aktiviti interaksi antara satu sama lain.
Jika kita terima komen tak baik, delete sahaja tak perlu jawab.
Jika diprovok begitu begini, delete sahaja tak perlu jawab.
Jika kita dilawan, hujah kita dibantah atau dibantai di post lain, jawab dengan hemah dan menulislah dengan sebaik mungkin. Post memang perlu dilawan dengan post, namun ketelitian bab memburukkan orang perlu dilihat semula, tak boleh semberono janji kita menang. Tulis biar beri manfaat walau kita sedang berlawan hujah.
Kebaikan kita, nak kongsi, kongsi. Tak mahu kongsi, duduk diam dan tak perlu pertikai orang lain menulis kebaikan.
Jika ada yang buat begitu, gunakanlah 3 langkah yang saya sebutkan di post sebelum ini,
Mulakan dengan Unfollow, kemudian Unfriend jika masih berterusan memburukkan kita, bolehlah block.
Ingat, media sosial kita, kita yang kawal. Kita meroyan, menggila dengan perkataan dan tulisan tak baik, kitalah yang burukkan suasana, dan kota tak boleh nak salahkan orang lain yang berfikir jahat kepada kita sendiri.
Medan ini boleh jadi medan kasih sayang, boleh jadi juga ia bertukar dengan kejam. Dan kita yang serius bermain, kena cekal dan kental.
Ingat ini, mereka boleh buat apa sahaja kepada kita, namun kita kena kuasai diri untuk lawan dengan kebaikan, walau mereka datang dengan seribu kejahatan, kita kena tenang dan tak boleh melawan balik dengan kejahatan.
Jika kita buat juga, kita yang kecundang. Kita orang yang rasional, yang banyak tulis benda baik, tak perlu melayan dan memburukkan hati sendiri dengan komen serta layanan teruk dari mereka ini.
Kita kawal diri kita dan wall kita.
Dari situ kita akan dapat haters atau follower yang bagus-bagus.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Masih belajar.