Ada yang kata apabila dah "kaya", dia akan tinggalkan kawan-kawan "miskin" dia. Atau apabila dia tengok kawan dia semakin kaya, dia undurkan diri jadi malu untuk berkawan sebab dia masih di tahap yang sama.
Kawan-kawan, tahap berfikir kita semua tak sama. Ia dinamakan sebagai circle.
- Ia terbentuk apabila kita mahu menghasilkan sesuatu. Orang nak buat hal kemanusiaan, akan bercakap, bincang dan bersembang tentang dunia itu.
- Orang nak buat bisnes, akan bercakap, bincang dan bersembang tentang dunia itu.
- Orang bekerja makan gaji, akan bercakap, bincang dan bersembang tentang dunia itu.
Berkawan ini pilihan. Sungguhpun kita kenal 10 atau 20 tahun lalu, namun tak semestinya ia berada dalam circle sama.
Ia normal apabila kita berkawan baik pada 1 tahap, kemudian perlahan-lahan ia sekadar bertanya khabar. Saling mendoakan dan sentiasa mengharap dapat jumpa sembang sejam dua kemudian masing-masing pulang kepada kehidupan masing-masing.
Tak normal apabila kita ada rasa sangkut dalam hati. Kita melihat dia makin kaya, kemudian kita cakap dia dah lupa kawan. Kita cakap orang kaya memang begitu, yang sentiasa mendahului kawan-kawan langitnya, sedang dia dulu sangat rapat, sangat akrab.
Kawan-kawan, semua itu tak sama. Mendahului rakan se-circle ini ada banyak alasannya. Orang kaya, berjaya dan hebat mereka bercakap tentang idea, mereka bersembang tentang bagaimana nak bantu lebih ramai orang.
Lebih dari itu kesibukan mereka dah berbeza.
Jika dulu boleh lepak sampai jam 3.00 pagi. Kini semua itu dah tak berlaku. Jam 10-11 malam dah mula mengantuk kerana nak bangun awal pagi. Nak selesaikan checklist nak siapkan diri mengadap Allah, nak luah kesyukuran sebanyaknya.
Kita ingat, kita nampak, kita rasa, orang-orang kaya ini selalu lupa kawan-kawan yang pernah bersembang sama-sama di kedai cendol tepi jalan.
Jujurnya, kadang-kadang mereka juga segan nak tegur kawan-kawan lama. Kerana asal berjumpa akan kena bahan, kena bantai, sedangkan mereka sangat jaga minda mereka dan elak dari hal toksik. Sangat-sangat menjaga!
Sudahlah bekerja keras, awalnya dulu tidur pun tak cukup, dengan keluarga pun masa tak ada. Apabila dah berjaya ramailah yang claim bukan-bukan. Nak free itu, nak free ini, nak minta itu nak minta ini.
Ramailah yang kata kita tak support, kita dah tak ingat kawan lama dan sebagainya. Namun waktu kita suffer, kita struggle, manalah mereka peduli, lagi time ajak kita makan pun kita yang nak kena keluarkan duit. Waktu kita dah berjaya, dibantainya kita pula dengan perkataan bukan-bukan.
Circle berubah kawan-kawan.
- dah tak rapat tak bermakna dah tak berkawan.
- dah tak keluar makan bersama tak bermakna dah terputus silaturrahim.
- dah tak melepak sama-sama tak bermakna saling tak mendoakan.
Saya secara peribadi ada ramai kawan-kawan yang sudah berjaya ke tahap multi-jutawan. Namun masih boleh berjumpa alhamdulillah.
Alasannya mudah sahaja, kami masih bersembang tentang idea. Minum kopi cerita tentang strategi.
Sedang ada rakan yang asal berjumpa, masih nak bercakap tentang keburukan yang itu keburukan yang ini. Ia menakutkan, ia merosakkan, ia menghancurkan minda yang dah diset dengan banyaknya kebaikan.
Kadang-kadang, kita rasa kita betul dengan menambah kebencian apabila melihat kawan berjaya. Kita kata dia lupa kita, sedangkan kita tak tahu apa dia lalui, apa dia buat, apa dia sentiasa luah dan harap kepada Allah.
Kena letak dalam kepala, kejayaan dia itu mesti ada punca. Walau kita berkawan, kenapa Allah pilih dia bukan kita. Dan kenapa apabila dia dah berjaya, dia keluarkan kita dari circle dia. Untuk dapat balik circle itu apa kita perlu buat. Fikir sebaiknya, boleh jadi ia tentang kita.
Kita yang tak nak berubah.
Kita yang tak mahu nak melangkah.
Kita nak duduk di tempat sama.
Sedang kawan kita dah naik 100 tangga.
Jika dulu berjalan bersama, boleh sembang dekat-dekat. Ini dia dah jauh di hadapan, suara pun dah tak dengar.