en
Feedback
Ust Abdul Halim Abdullah (Channel)

Ust Abdul Halim Abdullah (Channel)

Open in Telegram

Us. Abdul Halim Abdullah

Show more
2 123
Subscribers
No data24 hours
-47 days
-830 days
Posts Archive
BENCANA ALAM : WAHYU VS LOGIKA Bila bencana alam berlaku seperti tsunami di Palu, tsunami di konsert di Indonesia beberapa hari lalu, gempa bumi di Pakistan dsb., sebahagian ulamak mengambil kesempatan itu dengan memberi peringatan kepada masyarakat akan bahaya maksiat dan dosa, yang boleh mengundang murka Allah dan bencana alam dariNya di dunia, sebelum datang azab dariNya di Akhirat. Mereka berdalilkan wahyu dari ayat-ayat Quran. FirmanNya : (فَقَدْ كَذَّبُوا بِالْحَقِّ لَمَّا جَاءَهُمْ ۖ فَسَوْفَ يَأْتِيهِمْ أَنْبَاءُ مَا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ * أَلَمْ يَرَوْا كَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ قَبْلِهِمْ مِنْ قَرْنٍ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ مَا لَمْ نُمَكِّنْ لَكُمْ وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ عَلَيْهِمْ مِدْرَارًا وَجَعَلْنَا الْأَنْهَارَ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمْ فَأَهْلَكْنَاهُمْ بِذُنُوبِهِمْ وَأَنْشَأْنَا مِنْ بَعْدِهِمْ قَرْنًا آخَرِينَ) "Sungguh mereka mendustakan Kebenaran bila datang kebenaran kepada mereka....Tidakkah mereka melihat berapa banyak umat-umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan, padahal Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian *Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka mereka*, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain? [Surah Al-An'am 5 - 6] (وَلَقَدْ أَهْلَكْنَا الْقُرُونَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَمَّا ظَلَمُوا ۙ وَجَاءَتْهُمْ رُسُلُهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ وَمَا كَانُوا لِيُؤْمِنُوا ۚ كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْقَوْمَ الْمُجْرِمِينَ) "Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang terdahulu daripada kamu *semasa mereka berlaku zalim* padahal telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka membawa keterangan-keterangan, dan mereka masih juga tidak beriman. *Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan kesalahan*". [Surah Yunus 13] Dari ayat pertama di atas, Allah binasakan mereka kerana dosa-dosa (maksiat) mereka. Dari ayat kedua di atas, Allah binasakan mereka kerana kezaliman dan kesalahan mereka. Kisah-kisah bencana alam, disulami dengan ayat-ayat Quran mengenai bencana alam, memberi kesan besar kepada masyarakat sepanjang zaman. Ia juga telah memberi kesan kepada para Sahabat ra, di mana pernah Madinah dilitupi awan gelap, lalu mereka berpusu mencari Rasulullah saw, khuatir azab Allah menimpa mereka disebabkan kesalahan mereka. (Rujuk hadis fadhilat membaca 3 Qul). Namun kita dapati ada ahli agama hari ini yang cuba menafikan hubungan bencana alam dengan maksiat yang dilakukan manusia. Di antara hujahnya adalah : 1- Syirik adalah dosa terbesar. Kenapa bencana alam berlaku di Indonesia, negara majoritinya penduduk beragama Islam. Maksud beliau, kenapa tak kena di England atau Perancis yang lebih banyak syirik !! 2- Dosa riba lebih besar dari konsert. Maksud beliau kenapa tsunami serang pengunjung di konsert di Indon hari tu, dan tak serang bangunan bank-bank riba. 3- Kubur jenazah muslim digali semula dan didapati hangus kerana beliau makan riba. Maksud beliau kenapa kubur-kubur orang kafir di England ada yang tak hangus, sedangkan mereka makan riba lagi kufur kepada Allah. 4- dan lain-lain hujah akal. Jawapan nya : 1- Kita beri peringatan kepada umat Islam dengan menggunakan ayat-ayat Quran tertentu dan mengaitkan bencana alam, untuk mereka lebih terkesan dan lebih beringat. 2- Samada tsunami hari tu berlaku kerana dosa atau konsert ikhtilat hari itu, atau kerana dosa-dosa yang lain, itu hanya Allah swt sahaja yang mengetahui. Kita bukan tuhan yang boleh tahu tsunami hari itu berlaku kerana dosa hari itu. 3- Kita juga bukan tuhan yang boleh mengatakan "bencana itu bukan berlaku kerana dosa itu" , atau mengatakan "jelas bahawa maksiat bukan punca bencana alam". Siapa kita yang boleh mengait atau menafikan perkaitan itu ? 4- Hak dan ilmu Allah, kita serah kepada Allah. Jangan masuk campur.

BERPOLITIKLAH CARA ISLAM Saya dapat rasanya Umat dalam dilemma mutaakhir ini. Ibarat ditelan mati ayah, diluah mati ibu. Ketika makan selepas tahlil tadi pun, imam surau mendekati saya dan bertanya tentang suasana politik mutaakhir ini. Ia adalah perasaan dan kesudahan semulajadi dan dijangka, kerana selagi kehidupan politik dan ahli-ahli politik Umat jauh dari jalan Islam yang ditunjukkan oleh Nabi saw, selagi itulah Umat tidak akan rasa tenteram dan selamat. Apa sahaja perbuatan, baik solat, puasa atau haji, jika dilakukan tepat dan sempurna mengikut apa yang ditunjukkan Nabi saw, maka ia memberikan suatu macam ketenangan, kepuasan dan kenikmatan pada diri pembuatnya. Begitulah juga politik, kuasa dan pemerintahan akan dirasai keberkatan dan kepuasan nya jika pelakunya mengikut apa yang ditunjukkan oleh Nabi saw dan Al-Quran dari permulaan di Gua Hirak, hingga tertegaknya Negara Islam di Madinah dan wafatnya Rasulullah saw. Kita bukan tidak ada panduan nas-nas Al-Quran dan Al-Hadis di depan kita. Tidak kurang ribuan kitab-kitab Siyasah Syariyyah (Politik Islam) yang ditulis oleh para ulamak Islam pewaris Nabi saw sepanjang zaman. Namun, kepentingan peribadi dan godaan dunia telah banyak mengheret duat dan manusia jauh dari panduan-panduan Islam yang suci, lalu terikut-ikut ikut rentak, gaya dan budaya politik Barat yang tidak berkesudahan. (وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ) "Allah berjanji kepada orang-orang beriman dan beramal soleh dari kamu, sungguh Dia akan mengangkat mereka jadi pemimpin di dunia ini, seperti Dia telah mengangkat pemimpin-pemimpin sebelum mereka. Dia akan teguhkan Agama mereka untuk mereka. Dia ubah ketakutan mereka jadi aman. Mereka beribadah kepada Aku, tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu. Siapa yang kufur selepas itu, mereka adalah orang-orang fasik" [Surah An-Nur 55]. Us Abdul Halim Abdullah 20 Disember 2018

ASAS ISLAM ADALAH QURAN & HADIS Dengan kemudahan internet dan media sosial, umat Islam boleh membaca semua pandangan dari berbagai orang. Ada positifnya. Namun kesan negatifnya pula adalah ramai mereka yang keliru kerana ustaz ni kata lain, manakala ustaz tu pula kata lain. Lihat sahaja dalam isu "Kalimah Allah" suatu masa dahulu. Sebenarnya sebab kekeliruan timbul datangnya kedua-dua belah pihak, ustaz dan orang awam : 1- Ramai ustaz mengeluarkan pendapat berdasarkan atau terikat dengan keputusan parti politik pilihan atau keputusan pimpinan masing-masing. 2- Orang awam pula tidak peka kepada ayat Quran apa, kalau ada, yang digunakan. Mereka hanya berpada dengan pandangan ustaz berkenaan, atau fatwa ulamak tersohor yang digunakan oleh ustaz tersebut, tanpa kritis terhadap nas Quran atau Hadis apa yang digunapakai. Islam tidak tertegak atas pandangan individu semata-mata. Islam tegak atas Quran dan Hadis. Individu yang boleh kita sandarkan pula, adalah berdasarkan sejauh mana dia dapat datangkan nas Quran dan Hadis yang paling tepat atau sesuai dalam menjawab sesuatu isu. Bukan dia beri pandangan dia sendiri semata-mata, walau setinggi mana kelulusannya. Kalau individu itu quote kata-kata ulamak tersohor sekalipun, maka ulamak tersohor itu adalah ulamak yang dapat mendatangkan nas Quran dan Hadis mana yang paling tepat dan sesuai dalam menjawab sesuatu isu yang sedang dibincangkan. BUDAYA KRISTIAN Sebab utama pengikut Kristian tersesat adalah kerana mereka mengikut pandangan paderi dan pendita mereka, tanpa kritis dan serius merujuk kepada Bible. Bible telah banyak diselewengkan isinya. Akan tetapi jika mereka peka dan serius merujuk saki baki isi Bible, mereka akan dapat sedikit sebanyak info sahih yang Ahmad Deedat dan Zakir Naik ceramahkan. Budaya Kristian sejak berkurun dulu hingga sekarang adalah mereka kurang mentelaah Bible. Malah paderi mereka sendiri kurang mentelaah Bible. Mereka banyak mengeluarkan pandangan mereka sendiri sahaja, lalu diikuti oleh orang-orang lain. Adakah budaya Kristian mula menjadi ikutan ramai umat Islam ? Kita mengajak umat kita agar mengambil berat tentang nas-nas Quran dan Hadis dalam berbicara, atau ketika membaca dan menganalisa pendapat para ustaz dalam pasaran. Bandingkan nas-nas yang digunapakai oleh ustaz A berbanding nas-nas yang dipakai oleh ustaz B. Bukan sekadar menerima pandangan Ustaz A kerana dia dari kem kesukaan kita. Atau terus menerus menolak pandangan Ustaz B kerana dia di kem lain. Apabila budaya sahih ini - merujuk kepada nas-nas Quran dan Hadis - tersebar dalam masyarakat, maka pandangan dan pendirian Islam yang sahih dapat mendominasi dan mewarnai masyarakat. تركت فيكم شيئين لن تضلوا بعدهما ما تمسكتم بهما، كتاب الله وسنتي ... "Aku tinggalkan pada kamu 2 perkara. Kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang teguh akan kedua-duanya. (Ia adalah) Kitab Allah dan Sunnah ku ..." (Hadis Sahih). Us. Abdul Halim Abdullah 11 Dis 2018

AIR MUKA ISLAM Akhirnya Kerajaan Italy mendapati dalam siasatan mereka, bahawa yang membunuh warganya, Regeni di Iskandariah pada tahun 2016 adalah pihak berkuasa Mesir sendiri, dan bukannya 5 orang pemuda Mesir yang telah dihukum mati "kerana membunuh Regini". Mayatnya ditemui dalam longkang dengan kesan siksaan di tubuhnya. Dalam isu Khoshaggi tahun 2018 ini, akhirnya siasatan mendapati beliau dibunuh dalam bangunan Konsulat Saudi di Istanbul, dan bukannya beliau "telah keluar dari bangunan Konsulat setelah selesai urusannya" seperti kenyataan resmi yang disiar oleh pihak Konsulat berkenaan. Mayatnya telah dipotong-potong dan dilupuskan. Diantara persamaan dalam kedua-dua kes adalah : 1- Siasatan lanjutan tidak mendapat kerjasama sepatutnya dari pihak berkuasa Mesir dan Saudi. 2- Siasatan mendapati pihak berkuasa terlibat dan hukuman tidak melalui sebarang proses keadilan. Mayat tidak dipulangkan kepada ahli keluarga dengan baik. Sebaliknya yang berlaku adalah hukum dan campak. Itu sahaja. 3- Kes melibatkan berbagai negara, kerana kerakyatan mangsa, kerakyatan pembunuh dan tempat kejadian adalah dari negara berbeza. Ini mengundang reaksi masyarakat antarabangsa. Apabila panglima Musa bin Nusair, Tariq bin Ziyad dan tentera Islam membuka Eropah bermula dari Andalus (Spain) kurun ke 8M dulu, mereka dijemput oleh penduduk Eropah demi menyelamatkan mereka dari kezaliman pemerintah-pemerintah Kristian di sana. Zaman itu keadilan Islam di Arab menjadi idaman penduduk Kristian di Eropah. Setelah pembukaan Eropah, dan Islam bertapak selama 800 tahun, Eropah belajar dan melaksanakan sistem keadilan yang mereka pelajari dari Islam untuk kemaslahatan rakyat mereka hingga ke hari ini. Malangnya hari ini Barat melihat berbagai bentuk kezaliman berlaku di dunia yang menggelar mereka "Islam". Tindakan demi tindakan penguasa Muslim ke atas rakyat Muslimnya tidak langsung mencerminkan keadilan yang telah mereka kenal dan ceplak dari Islam di Andalus 1300 tahun yang lalu. Duat dan pihak berkuasa Islam mesti mengukur di baju sendiri dan menilai sejauh mana mereka telah mencerminkan Islam dalam urusan mereka. Ini untuk kejayaan mereka sendiri dalam membawa agenda Islam di dunia. Tanpa kita mempamirkan Islam dalam organisasi kita, "manhaj perjuangan kita tidak selari dengan manhaj Islam itu sendiri, kita tidak akan dapat mencapai kemenangan hakiki yang Islam kehendakki" (Sayyid Qutb), jauh sekali kita diharapkan dapat menyelamatkan insan dari penindasan, dalam keadaan kita sendiri penindas yang menindas. (أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنْسَوْنَ أَنْفُسَكُمْ وَأَنْتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ) "Adalah kamu menyuruh manusia melakukan kebajikan, sedang kamu lupa diri kamu sendiri, padahal kamu membaca Al-Quran. Kamu tak fikir ke ?" (Al-Baqarah). Us Abdul Halim Abdullah 6 Disember 2018

2 Dis 2016 (Arkib)

FB kembalikan artikel saya tepat 2 tahun lalu (2016) sempena Persidangan Agung Umno (PAU) yang sedang berlalu masa itu. Ia nasihat ikhlas dan lembut dari saya untuk sebuah organisasi yang semakin reput dek kerana pemimpin gerabak yang lari dari landasan. Akhirnya semua gerabak turut tergelincir. Pepatah asing mengatakan "ikan mula reput busuk dari bahagian kepalanya". Tak sampai 2 tahun selepas itu, Umno dihukum umat dan kalah PRU buat kali pertama dalam 61 tahun sejarah negara Malaysia berpilihanraya. Susulan dari itu, seorang demi seorang pemimpin nya diheret ke muka pengadilan. Tidak dinafikan ramai ahli Umno yang berjuang ikhlas. Saya mengenali Dato Rahmah dari Rembau. Semasa seruan membiayai Tunku Abdul Rahman ke London untuk menuntut Kemerdekaan, Dato Rahmah menafkahkan gelang emasnya. Dia tinggal di rumah murah sepanjang hidupnya hingga menghembuskan nafas terakhir. Namun sunnah Allah terhadap mana-mana umat, negara dan organisasi tetap tidak akan berubah. Pimpinan rosak akan membawa kekalahan dan kehancuran. ——————— PAU & SAQIFAH BANI SAADAH Perhimpunan atau Mesyuarat Agung di zaman ini persis (tepat) menyamai Ijtimak para Sahabat ra di dewan Saqifah Bani Saadah, Madinah untuk memilih Khalifah, saat jenazah Nabi saw masih belum selesai disempurnakan. Suasana dalam sesuatu Perhimpunan Agung sebenarnya adalah salah satu petanda atau penunjuk samada sesebuah organisasi itu sedang menaik dan melonjak, atau ia sedang menurun dan merudum. Ketika peristiwa pemilihan di Saqifah Bani Saadah, Islam sedang menaik. Bahkan 10 tahun selepas itu, Madinah mengalahkan Kuasa-kuasa Besar Rom dan Parsi, lalu menjadi kuasa besar dunia yang baru. Dari suasana di Saqifah Bani Saadah, petanda organisasi para Sahabat ra sedang menaik dan berkembang (berbanding organisasi yang sedang merudum) adalah seperti berikut : 1- Perbincangan yang serius dan merasakan besarnya perkara-perkara yang dibincangkan. Umar Al-Khattab ra hampir bertarung dengan golongan Ansar. 2- Kekuatan hujjah mengatasi bias kepuakan. Pada mulanya kaum Ansar, majoriti atau hampir kesemua di dalam Dewan hendak memilih Saad bin Ubadah ra sebagai Khalifah. Namun, setelah mendengar hujjah Abu Bakar As-Siddiq ra, mereka nampak kekuatan hujjah beliau lalu mereka akur. 3- Calon mencalonkan calon lain. Abu Bakar As-Siddiq ra mencalonkan Umar Al-Khattab ra dan Abu Ubaidah Al-Jarrah sebagai Khalifah. Umar Al-Khattab ra mencadangkan Abu Bakar sebagai Khalifah. Ini kemuncak zuhud pangkat yang saya dapati dalam sejarah. Ini menunjukkan mereka tahu besarnya tanggungjawab dan kerdilnya diri mereka. Namun, apa yang sejarah menunjukkan kepada kita ? Kedua-dua mereka (Abu Bakar dan Umar) membawa Umat Islam di zaman itu menjadi Kuasa Besar dan pemimpin Dunia. 4- Setelah pemilihan Abu Bakar sebagai Khalifah, kesemua Sahabat ra memberikan bai'ah (allegiance) kepada beliau, dan para Sahabat ra kembali bertaut, berukhuwwah dan bersatu semula. Kesemua Sahabat ra mendokong Khalifah tanpa berbelah bagi. Mereka terlibat dalam memerangi golongan Murtad, di bawah arahan Abu Bakar ra tanpa ragu-ragu atau berdendam. 5- Khalifah berucap dengan tawadhuk bahawa dia bukan yang terbaik dari kalangan para pemilih. ولست بخيركم (Aku bukan yang terbaik dari kalangan kamu). Petanda negara atau organisasi sedang merudum adalah lawan kepada noktah-noktah dalam Pehimpunan Agung di atas iaitu : 1- Tidak serius, tiada agenda penting yang hendak dibahaskan. Gelak ketawa, bincang hal-hal perniagaan atau keduniaan mewarnai suasana. 2- Pandangan puak sendiri lebih utama dari hujjah-hujjah pandangan puak yang lain. Keputusan-keputusan telah dirancang awal mengikut puak masing masing, tanpa mengambilkira hujjah-hujjah puak lain. 3- Calon berusaha menjatuhkan calon-calon lain, agar dia kekal di kerusinya selama masa yang boleh. 4- Setelah proses pemilihan tamat, perpecahan jiwa atau bendera terus berlaku, malah berlaku pertembungan dari masa ke semasa. Selamat bersidang. Us Abdul Halim Abdullah

HIDUP DIPANDU AL-QURAN Saya amati di antara kehebatan Abu Bakar As-Siddiq ra adalah dia amat menghayati Al-Quran dalam setiap detik kehidupan dan peristiwa. Manakala kehebatan para Sahabat ra adalah apabila kena Al-Quran pada tempatnya, di depan mereka, mereka akan terus akur, tunduk dan menyerah, sebagai satu taklimat tegas dan putus dari Allah swt. Antara kelemahan umat Islam kita hari ini adalah : 1- Ramai mereka yang tidak memahami bahasa Al-Quran. 2- Jika ada yang belajar bahasa Al-Quran, ramai mereka tidak memahami mesej nya dan kegunaan nya seharian. 3- Jika ada yang memahami mesejnya, belum tentu mereka melaksanakannya, lantaran terikut dan terikat dengan hawa nafsunya. "Allah sesatkan mereka dengan ilmu" (Al-Quran). 4- Ramai umat Islam tidak rasa terikat untuk tunduk sepenuhnya kepada ayat ayat Quran. Apabila mendengar pandangan Al-Quran, mereka masih lagi hendak membandingkannya dengan pandangan pemimpin mereka, ahli politik, tokoh kesayangan mereka dll makhluk. Mereka akan buat pilihan mereka sendiri. Apabila Rasulullah saw wafat, ia suatu goncangan dahsyat di Madinah. Mereka berkata, "Tiada hari paling cerah berkilau selain hari tibanya Nabi saw ke Madinah semasa Hijrah. Tiada hari paling gelap dan murung di Madinah selain hari wafatnya Nabi saw". Umar Al-Khattab ra menghunus pedang ingin memancung kepala sesiapa yang berkata Rasulullah saw telah wafat. Katanya, "Nabi hanya pergi sebentar bertemu Allah, seperti Nabi Musa as bertemu Allah 40 hari". Konflik hampir berdarah itu tiada penyelesaian. Tiada sahabat yang berani menyangkal Umar sehinggalah Abu Bakar As-Siddiq masuk ke kamar Nabi saw, mengambil kepastian bahawa Nabi saw telah wafat, kemudian keluar dan menyebut firman Allah saw : (وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ) bermaksud, "Tidaklah Muhammad itu melainkan (hanya) seorang rasul. Adakah jika dia MATI atau terbunuh, kamu akan berpaling tadah kembali (menjadi kufur). Siapa yang berpaling tadah, dia tidak akan dapat memudharatkan Allah sedikitpun. Allah akan membalas (baik) terhadap orang-orang yang bersyukur". Umar Al-Khattab berkata, "Seolah-olah aku tidak pernah membaca ayat ini (yakni tak perasan Allah berfirman Nabi "mati"), lalu Umar akur bahawa Nabi saw benar-benar telah wafat. Demikian sahabat akur kepada Al-Quran dalam sekelip mata. Konflik tamat serta merta. Demikian kehebatan Abu Bakar As-Siddiq ra memegang Al-Quran dalam ingatan dan sanubarinya, hingga dia boleh menggunakan Quran di setiap peristiwa. Kita mendambakan anak-anak kita dan pendakwah-pendakwah berkualiti Quran seperti ini. Seperti mana Quran di dada Abu Bakar mampu menamatkan konflik sesama Sahabat, begitu juga Quran boleh menamatkan konflik sesama umat Islam hari ini. Yang penting : 1- Ramai orang yang mampu menguasai mesej Al Quran ke tahap sepertimana Abu Bakar menghayatinya. 2- Seperti Umar, masyarakat kita akur tunduk patuh apabila Quran dibacakan di depan mereka. Us Abdul Halim Abdullah 1 Dis 2018

RECIPROCAL Ada pemikiran logik timbul di kalangan orang Islam di Malaysia yang menyuarakan, "Jika agama lain membenarkan penganutnya memeluk Islam, maka Islam mesti benarkan penganutnya murtad dan menganut agama lain". Mesti reciprocal. Diaspek undang-undang, dia kata, "Jika di Malaysia, orang bukan-Islam boleh memeluk Islam, sepatutnya kita benarkan orang Islam murtad dan memeluk agama lain. Jika tidak, maka tidak reciprocal". Ia nampak logik mudah. Akan tetapi Islam tidak berfikir seperti itu. Agama tidak sama, oleh itu tiada reciprocal dalam hal aqidah. Ini kerana Islam adalah agama yang benar. Selain Islam adalah agama-agama yang batil. Islam dari wahyu, sedang ajaran ajaran lain adalah dari nafsu. Islam ada kitab suci yang datang dari Tuhan, manakala pada agama-agama lain adalah kitab dari nafsu manusia. Oleh itu mana ada reciprocal dalam hal ini. Dalam Islam tiada namanya : 1- "Semua agama adalah sama, menyeru kepada kebaikan". 2- "Semua agama menyembah tuhan yang satu atau tuhan yang sama" . 3- "Agama-agama adalah ibarat cahaya berbagai dari pelita yang satu" dan sebagainya. Isu "kesamarataan kaum" di Malaysia mesti dilihat juga dari ketegasan ini. Bahkan Islam mewajibkan 2 asas dalam politiknya, iaitu : 1- Ketua negara mesti orang Islam yang genuine atau soleh. 2- Undang-undang mesti dari Syariat Islam atau selari dengan Islam. Oleh itu dalam berdepan dengan anutan, kepercayaan dan sistem lain di dunia ini, Imam Al-Banna menegaskan 3 perkara asasi : 1- Islam satu-satunya agama yang benar. Selain nya adalah batil. 2- Bangga hidup dan berjuang untuk Islam. 3- Yakin janji Allah bahawa Islam tetap akan menang di akhir nanti. Firman Allah swt : (وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ) [Surah Ali-Imran : 85] bermaksud, "Siapa yang ambil selain Islam sebagai agama, tidak akan diterima darinya. Dia termasuk dikalangan orang-orang rugi di Akhirat". Us Abdul Halim Abdullah 30 Nov 2018

SISTEM GAGAL Pembunuhan Khashoggi berlaku di bumi Turki. Oleh itu Turki minta Putera Mahkota serah 18 orang Saudi yang terlibat dalam pembunuhan itu dihantar ke Turki untuk dibicarakan. Saudi enggan. Saudi tahu, jika soal jawab dilakukan di Turki, akan tersingkap lebih banyak maklumat, dan lebih ramai pimpinan tertinggi akan terkantol. Yang jelas Khashoggi dihukum tanpa bicara. Jika tanpa bicara, bermakna tanpa sebarang sabitan kesalahan. Hampir 2 bulan, kedua-dua negara umat Islam tidak dapat memulakan proses Keadilan sepatutnya. KEADILAN ANTARABANGSA Suara agar kes Khashoggi diangkat ke pengadilan antarabangsa sudah kedengaran. Jika ini berlaku, jika Saudi enggan serah 18 orang itu, maka Saudi bukan mencabar Turki, malah mencabar Dunia dan Kuasa-kuasa Besar. Jika kes diangkat, Saudi akan terpaksa serah 18 orang tersebut juga. Maklumat lebih mendalam akan dikorek. Siapa orang tertinggi Saudi yang keluarkan arahan bunuh akan diketahui. Amerika telah mula merestui Putera Ahmad bin Raja Abdul Aziz sebagai pengganti Raja Salman A Aziz, jika putera mahkota sekarang, Putera Mohd b Salman, digulingkan kesan dari kes Khashoggi. Pendek kata, sebarang tindakan yang zalim, tidak melalui proses keadilan sebaiknya adalah dicela oleh Islam, negara dan insan sejagat itu sendiri. Ia akan terus menghantui orang no.1 tertinggi yang merestui tindakan zalim. Walaupun ramai seolah terlibat, namun masyarakat yang bertamaddun dan peka tahu bahawa yang bertanggungjawab penuh adalah Orang No.1 kes tersebut. Isu Khashoggi akan terus membuka mata dan kesedaran semua pihak terhadap kegagalan sistem dan kepincangan perjalanan organisasi umat Islam di akhir zaman ini, hingga minta bantuan pihak luar boleh jadi pilihan untuk tolong selesaikan. Sistem Keadilan gagal kerana kualiti organisasi itu sendiri yang tidak terdidik dengan hakikat dan maani (erti) keadilan sebenar, atau proses Keadilan itu sengaja digagalkan oleh orang yang berkuasa dalam organisasi tersebut. Us Abdul Halim Abdullah 25 Nov 2018

Turki menuntut agar 18 orang yang terlibat diserah ke mahkamah Turki untuk dibicarakan. Sudah tentu dalam soal jawab mahkamah, akan terdedah dan dilondeh segala maklumat dalam dan luar, terbuka dan tersembunyi. Hingga saat ini Arab Saudi enggan serahkan mereka kepada pihak berkuasa Turki. Kita menyeru agar isu Khashoggi ini membuka mata umat Islam menyedari realiti mereka dan negara di zaman kini. Ketinggalannya Umat Islam hari ini adalah kerana jauhnya mereka dari petunjuk Al-Quran itu sendiri. Ukurlah baju di badan sendiri. Allah tidak merubah suatu kaum, sehinggalah mereka merubah apa di dalam diri mereka sendiri (Al-Quran). Us. Abdul Halim Abdullah 20 Nov 2018

PROSES KEADILAN DIPERSOAL Pengajaran Isu Khashoggi Apabila kerajaan sebuah negara bertindak membunuh Khashoggi, ia bermakna menghukum beliau. Darah seorang mukmin itu haram ditumpahkan tanpa hak. Kerana itu Islam mewajibkan Proses Keadilan ditegakkan. Amirul Mukminin, Khalifah Sayyidina Ali Abi Talib, salah seorang dari 10 sahabat yang pasti masuk Syurga, sendiri pernah berada di kandang penuduh, bukan di meja Hakim, dalam kes tuduhan beliau terhadap seorang Yahudi. Hakim Syuraih memenangkan Yahudi tertuduh, kerana Amirul Mukminin gagal membawa bukti. Ini baru kes curi baju besi. Apatah lagi kes yang lebih besar. Setelah 6 minggu Khashoggi hilang, barulah Kerajaan Arab Saudi mengaku beliau dibunuh secara resmi dalam bangunan Kerajaan Saudi di Istanbul. Itu pun setelah rakaman suara pembunuhan itu disebar Kerajaan Turki kepada Kuasa-kuasa Besar Dunia. Arab Saudi mengumumkan 5 orang akan dihukum bunuh. Pada sangkaannya, ini akan meredakan Masyarakat Antarabangsa, kerana ada "dalang" yang dihukum. Namun pada : (1) kita yang peka terhadap proses Keadilan. (2) Dunia Membangun yang proses Kehakiman mereka berjalan dengan lebih baik. (3) mereka yang memahami proses Keadilan dalam Islam dari kitab-kitab Fiqh dan sejarah kegemilangan Islam, pengumuman 5 orang akan dihukum bunuh menambahkan lagi kepelikan kepada kepelikan-kepelikan yang telah sedia ada. Ini kerana : (1) adakah proses pendakwaan telah dijalankan. Siapakan nama hakim kes tersebut ? (2) jika ada tertuduh yang tidak mengaku, siapakah barisan peguam bela bagi mereka ? (3) jika telah berjalan proses Keadilan, bagaimana ia telah selesai dengan begitu pantas ? (4) jika "pembunuh" itu didapati sekadar pelaksana, siapakah "pengarah" kepada pembunuhan tersebut ? (5) dan banyak lagi persoalan dan hakikat yang bakal tersingkap. Demikian, Allah swt menyingkapkan realiti pemimpin-pemimpin Islam akhir zaman ini, dengan mengkantoikan mereka dari tindakan-tindakan mereka sendiri yang mereka sangka molek, tapi sebenarnya pelik yang ditambah pelik dan zalim. Zaman di mana ketua mengeluarkan hukuman tanpa peluang pembelaan telah lama berlalu, sejak tamaddun Islam masuk membuka negara-negara gelap dan zalim di Eropah, Asia dan Afrika. Islam telah menghancurkan kezaliman raja-raja dan sistem-sistem Jahiliyah. Malangnya hari ini ramai ketua-ketua Islam kembali kepada cara Jahiliyah lalu, menghukum tanpa bicara atau dinafikan hak membela diri. Akhirnya culprit sebenar terlepas, dan orang-orang lain pula yang dihukum. Ini salah satu bentuk perhambaan sesama manusia yang Islam didatangkan untuk menghapuskannya hingga ke akar umbi. Perjuangan kita adalah menghapuskannya, bukan mengembali atau meyuburkannya lagi. Wakil tentera Islam, Rub'ie bin Amir berkata kepada General Parsi, Rustam, "ان الله بعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد الى عبادة الله bermaksud," Allah mengutuskan kami (Islam) untuk menyelamatkan manusia dari perhambaan sesama manusia, kepada perhambaan kepada Allah ... ". Kita umat Islam jangan perasan sendiri dengan menyangka manusia lain terlalu naif, dan boleh menerima apa sahaja yang kita hukumkan. Manusia yang peka, celik dan faham tetap akan bertanya apakah tuduhan-tuduhan ke atas mereka, adakah mereka telah mengaku atau mereka menafikan ?, jika mereka menafikan, adakah mereka diberi hak membela diri ?, siapakah hakim yang membuat keputusan ?, adakah hakim itu dikenali kelayakan dan keadilannya ? Adakah ia tindakan hak atau sebenarnya langkah berbau politik semata-mata ? Isu Khashoggi akan terus menghantui Arab Saudi. Ia bukan isu individu. Ia isu Umat. Jika memang Khashoggi dihukum mahkamah sebagai bersalah dan dihukum mati, ia adalah isu Individu. Umat lebih penting dari individu. Tapi jika Khashoggi dihukum tanpa hak, ia adalah isu Umat. Ini adalah kerana, jika Negara boleh perlakukan sebegitu ke atas individu tanpa hak, maka Negara boleh juga lakukan sebegitu kepada individu-individu lain juga. Semua terdedah kepada perlakuan sedemikian tanpa hak.

DUNIA MENILAI ISLAM Isu Khashoggi Dihukum Akhirnya hari ini, Arab Saudi mengaku Jamal Khashoggi dibunuh dan dikerat-kerat di dalam Konsulat Saudi Arabia di Istanbul pada 2/10/2018 lalu. 5 orang akan menghadapi hukuman bunuh, katanya. Pengakuan resmi dibuat hari ini, iaitu 7 bulan selepas teka teki pembunuhan itu viral ke seluruh dunia, terutama ke Kuasa-kuasa Besar Dunia. Minggu pertama pembunuhan, Arab Saudi menafikan sebarang pembunuhan berlaku, dengan mengatakan Jamal Khashoggi telah selesai urusannya dan keluar dari Konsulat tersebut. Dari pengakuan semalam, ternyata penafian di atas adalah bohong. Minggu seterusnya, setelah viral, mereka mendiamkan diri. Minggu seterusnya, rombongan resmi Saudi pergi ke Turki. Namun mereka tidak beri kerjasama kepada pihak penyiasat Turki. Mereka hanya nak pastikan sejauh mana bukti-bukti yang ada di tangan pihak Turki. Turki menuduh, mereka datang untuk menghilangkan kesan-kesan DNA di Konsulat. Minggu berikutnya, Turki bertindak memperdengarkan rakaman suara Jamal Khashoggi dibunuh dalam Konsulat, kepada Arab Saudi dan Kuasa-kuasa Besar Dunia. Hanya setelah itu, baru Arab Saudi mengaku Jamal dibunuh dan dikerat-kerat. Turki, Eropah, Barat dan Timur masih hendak tahu dan pengakuan tentang siapa sebenarnya keluarkan arahan bunuh Jamal Khashoggi. Ia masih jadi misteri dan teka teki. Seluruh dunia, Barat dan Timur, mengikuti kes Jamal Khashoggi yang dibunuh "secara resmi" dalam Konsulat Arab Saudi di Istanbul. Hampir semua pimpinan Eropah keluarkan kenyataan bahawa ia (1) pembunuhan terancang, (2) ke atas seorang wartawan, (3) tanpa apa-apa perbicaraan atau sebarang sabitan kesalahan, (4) mustahil tanpa restu pihak pimpinan tertinggi negara. Tambahan lagi, di depan mata dunia, (5) Arab Saudi adalah negara tuan rumah Kaabah dan maqam Nabi Muhammad saw, (6) lahirnya Agama Islam yang dibawa oleh Muhammad (saw), (7) tempat jutaan umat Islam mengerjakan Haji dan Umrah setiap tahun. (8) pakaian pemimpin dan rakyat Arab Saudi berupa jubah dan serban, adalah unik, dan macam "melambangkan Islam" di mata dunia. Walaupun Islam tidak bersalah, namun tragedi Jamal Khashoggi ini telah dan terus beri persepsi negatif terhadap Islam di mata dunia. Kejam, zalim, tidak berlaku adil, tidak hormati nyawa insan, bohong, ego, bohong berulang kali, boleh mewarnai persepsi terhadap Islam pada ramai masyarakat antarabangsa. Islam berlepas diri dari perbuatan mereka. Bahkan kemanusiaan dan nilai asasi insan turut berlepas diri dari mereka. Us. Abdul Halim Abdullah 16 Nov 2018

HUKUMAN MATI Akhir-akhir ini ada segelintir orang menggunakan media untuk mempromosi "mansuhkan hukuman mati di Malaysia" . Kononnya, ia mengikut sebahagian negara lain yang tiada hukuman mati. Anehnya, mereka bercakap seolah-olah dalam Al-Quran dan Al-Hadis tidak terdapat hukuman mati, lalu mereka bebas mengutarakan pandangan sendiri sedemikian. Sebilangan orang yang lain mula membandingkan pro and con (sokong atau tentang) hukuman mati, mengikut akal dan nafsu masing-masing. Saya tidak berhajat untuk menambah idea pro and con di sini. Cukuplah dengan menyatakan, banyak negara yang pernah mansuhkan hukuman mati, akhirnya kembali mengadakan hukuman mati semula. Sebaliknya saya ingin mengingatkan kita bahawa di dalam Al-Quran telah ada hukuman mati terhadap beberapa kesalahan jenayah seperti kesalahan membunuh secara sengaja tanpa hak (القتل العمد), kesalahan merompak di tengah jalan (الخرابة) dan lain-lain. Begitu juga di dalam Hadis. Jika kita mengatakan perkara yang bertentangan dengan nas-nas Quran dan Hadis kerana jahil, ia adalah dosa. Kita sepatutnya wajib menuntut ilmu, kemudian baru berkata atau menulis secara terbuka dalam media berasaskan ilmu, bukan nafsu. Jika kita bersikap sebegitu dalam keadaan tahu hukum hakam Allah, tetapi menentangnya atau merasa kita lebih tahu dari Allah, maka ia berkait dengan Aqidah. Kesannya jauh lebih besar di Akhirat. Nauzubillah. Jangan dek kerana terlalu hendak mengikut Barat Jahiliyah, kita lupa akan petunjuk Ilahi Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. (أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ) bermaksud, "Adakah undang-undang Jahiliyah yang mereka mahu. Sedangkan siapakah yang lebih baik undang-undangnya selain (undang-undang) Allah bagi kaum yang yakin". [Surah Al-Ma'idah 50]. Moga isu "mansuhkan hukuman mati" hari ini jadi pengajaran dan peringatan untuk masa depan, bukan sahaja dalam isu ini sahaja, akan tetapi dalam kesemua isu yang berkait dengan undang-undang Allah yang telah disebut dalam Al-Quran secara jelas dan putus. Us. Abdul Halim Abdullah 15 Nov 2018

SOKONG LARANGAN MEROKOK Larangan merokok oleh pihak Kerajaan Malaysia ke atas perokok di tempat awam, termasuk di restoran, adalah dipuji dan disokong 100%. Ini adalah kerana : 1- Merokok mengganggu orang sekeliling dengan asap busuknya, disamping boleh merosakkan kesihatan orang. 2- Merokok adalah diantara perosak akhlak remaja dan belia. Melarangnya boleh membaiki dan meningkat peratus akhlak mereka berlipat kali ganda. 3- Jika dihisap dari jarak jauh sekalipun, merokok di tempat awam merosakkan bi'ah (suasana) sihat dan taqwa, dengan cara menunjukkan perangai buruk itu secara terang-terangan. Ia bukan sahaja isu asap, bahkan ia isu contoh teladan. 4- Kerajaan dan negara boleh jimat berjuta ringgit kos merawat penyakit akibat merokok. Bahkan sebenarnya rakyat dapat jimat berbillion ringgit jika tidak merokok dan mengelak dari menyumbang peratus keuntungan kepada industri rokok yang kebanyakannya dimiliki oleh Barat. Di banyak negara-negara maju, larangan seperti ini telah lama berkuat kuasa. Rakyat harus bangkit menyatakan sokongan padu kepada usaha Kerajaan diaspek ini. Nampak seperti segelintir pihak-pihak berkepentingan sedang cuba meningkatkan usaha dan tekanan agar larangan merokok ini gagal. Jika mereka berjaya, ia suatu kerugian ke atas umat Islam, dan sukar untuk larangan ini dijayakan di masa akan datang. Ayuh bangkit dan nyatakan sokongan kita kepada "Larangan Merokok Di Tempat Awam". Us. Abdul Halim Abdullah 13 Nov 2018

BOIKOT FILEM FITNAH Sebarang filem, lagu, ucapan dan seumpamanya yang cuba mengaitkan Islam dengan keganasan hendaklah diboikot. Jangan menyokong projek tersebut dengan menyumbang wang kita membeli tiketnya. . DAKWAH Islam berdakwah kepada manusia dengan hikmah, peringatan yang baik dan berbahas dengan cara yang paling baik. Firman Allah swt : (ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ) "Dakwahlah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan, nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk" [Surat An-Nahl 125]. JIHAD Dalam masa yang sama, Islam adalah agama yang terbaik dalam menghadapi realiti. Orang jahil dihadapi dengan Dakwah. Tetapi musuh yang memerangi secara bersenjata dihadapi dengan Jihad. Oleh itu Jihad adalah suci demi mempertahankan Islam dan membebaskan manusia dari kezaliman. FITNAH Namun, ada pihak bermuslihat cuba menuduh Islam berlaku ganas terhadap semua jenis manusia, dalam semua keadaan, seolah hanya itu sahaja (keganasan) yang diajar oleh Islam dalam Al-Quran kepada umatnya. Di antara 2 tujuan utama fitnah "Islam Agama Keganasan" adalah : 1- Memalit rupa jahat kepada Islam, lalu menjauhkan manusia dari tertarik kepada agama Allah ini. 2- Meransang umat Islam ke arah mempertahankan diri dengan jahil, lalu segera menafikan Jihad adalah dari Islam. Mereka berpada "Islam" sebagai hanya dakwah dengan lidah sahaja, dan membiarkan kekuatan tentera di tangan bukan-Islam, Barat dan Timur. Dengan meninggalkan Jihad, musuh mudah memerangi umat Islam di serata dunia. Moga Allah selamatkan umat kita dari diperdaya oleh musuh-musuhnya melalui filem, lagu dan ucapan tokoh. Us Abdul Halim Abdullah 11 Nov 2018

DI ANTARA PENDAULATAN DAN PERLAKSANAAN SYARIAT ISLAM Syariat Islam adalah sistem, hukum hakam dan undang-undang Islam. Kita harus tahu perbezaan di antara 2 perkara, iaitu : 1- Pendaulatan Syariat Islam. Ia juga boleh panggil Ketuanan Syariat Islam yang membawa pengertian Sovereignty atau Supremacy. 2- Perlaksanaan Syariat Islam. Ia membawa pengertian Execution. Sejak Hijrah berlaku pada tahun 610M dan Islam berkuasa, Syariat Islam di*daulat*kan dengan termeterinya Piagam Madinah. Di dalamnya disebut apa sahaja perselisihan yang berlaku, maka tempat rujukan asasi dan tertinggi adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Selepas itu, Syariat Islam pun di*laksana*kan contohnya dalam kisah Al-Ifk (tuduhan bohong zina terhadap Aisyah ra.), 3 orang sahabat di sebat 80 sebatan. Mereka adalah Mistah bin Uthathah ra., Hassan bin Tsabit ra. dan Himnah binti Jahsy ra. Adakalanya hukuman tidak dilaksanakan, samada kerana : 1- terdapat kekeliruan dalam proses Keterangan, kerana Nabi saw bersabda "ادرء الحدود بالشبهات " (Jangan laksanakan Hudud jika terdapat ketidakjelasan keterangan), atau 2- suasana darurat seperti kebuluran yang pernah berlaku di zaman Khalifah Umar Al-Khattab ra. Beliau tidak melaksanakan hukuman ke atas pencuri dalam suasana seperti itu. Namun, dalam kedua-dua keadaan, samada hukum hakam dilaksanakan atau tidak dilaksanakan kerana bersebab, Syariat Islam adalah dan tetap berdaulat, sovereign dan supreme. TEMPAT Tempat mendaulatkan Syariat Islam adalah di Parlimen. Manakala tempat melaksanakan Syariat Islam adalah di Kementerian dan di Mahkamah. Maka tugas bahkan kewajipan Ahli-ahli Parlimen atau Wakil-wakil Rakyat adalah mengundi sehingga semua hukum hakam di Malaysia, samada Hudud atau Takzir, menjadi selari dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Tugas Mahkamah pula adalah meneliti keterangan-keterangan dari pihak pendakwa dan pembela, dan memutuskan perlaksanaan hukum hakam mengikut Undang-undang yang telah diaktakan oleh Parlimen dan DUN yang telah mendaulatkan Syariat Islam, dengan mengambil kira suasana, samada darurat atau tidak, dan berbagai faktor lain yang berkaitan. Jelasnya, pendaulatan Syariat Islam mesti diperjuangkan sepanjang masa sehingga tercapai. Perlaksanaan Syariat Islam dilakukan atau ditangguh mengikut suasana dan keadaan. Kita tidak boleh mengatakan tangguh usaha pendaulatan Undang-undang Islam di Parlimen kerana pembahagian kekayaan tidak sekata dan terdapat ramai orang miskin. Bagaimana pula nanti jika En. Kasim seorang jutawan mencuri terang-terangan ? Tidakkah kita melihat bahawa Syariat Islam berdaulat di zaman Nabi saw, sedang terdapat ramai sahabat yang miskin, tiada rumah bahkan ada yang tinggal menumpang di Masjid Nabawi ? KESIMPULAN Semua Umat Islam dari semua parti politik, ngo, badan, persatuan dan individu mesti terlibat dalam usaha dan perjuangan mendaulatkan Syariat Islam di Parlimen dan DUN. Ini juga termasuk menaikkan taraf Mahkamah Syariah sehingga ia berada di kedudukannya yang tertinggi dan selari dengan Perlembagaan Malaysia yang menyatakan Agama Negara adalah Islam. Mana-mana suasana dan keadaan dalam negara Malaysia diaspek ekonomi, sosial dan politik yang dilihat banyak kekurangan oleh sesetengah pihak, maka ia kena diambil kira dalam perlaksanaan Syariat Islam di Mahkamah. Namun ia sekali-kali tidak boleh menjadi alasan untuk menghalang pendaulatan Syariat Islam di dewan-dewan perundangan seperti di Parlimen dan DUN.

SYUKUR & TAHNIAH DOKTAZ JIHAD Alhamdulillah, pelajar perubatan tahun 5 di Ain Shams University, Cairo, anakanda Jihad Halim, 24, berjaya beroleh ijazah Syariah dari Universiti Al-Azhar, Kaherah baru-baru ini. Jika lulus peperiksaan perubatan kelmarin (internal medicine & paediatric), beliau akan berada di tahun akhir Perubatan (surgery & o&g) di tahun 2019 depan, insyaAllah. Mengimbau kembali 5 tahun lalu, isteri saya mulanya agak resah dengan idea dan kemampuan anak-anaknya belajar di 2 universiti bagi 2 pengajian dalam masa yang sama. Tambahan pula ia suatu yang jarang dilakukan oleh pelajar Malaysia. Namun di antara prinsip-prinsip hidup saya sejak lama dulu adalah : (1) "belum ada orang buat, tidak semestinya kita tak boleh buat atau tak mampu buat". (2) "ulamak sebaiknya financially independent" supaya pemikiran, pembacaan, perbincangan, fatwa-fatwa dakwahnya lebih genuine seperti yang ditunjukkan oleh ramai ulamak Islam silam dan seperti yang dianjurkan oleh Imam Al-Banna (1906-1949) dalam Wajibat 38 nya. Dalam kitab-kitab harakah, kategori yang disebut sebagai "ulamak suuk (ulamak jahat)", "ulamak sultah (ulamak pencacai pemerintah)" dan seumpamanya benar-benar menggusarkan saya sejak dahulu hingga ke hari ini. Selain kerana rosak hati dan jiwa, godaan kedudukan dan dunia, peranan "dedak" juga telah banyak merosakkan ramai ulamak sepanjang zaman. (3) Dengan memiliki 2 bidang ilmu agama dan ilmu sains, ufuk pemikiran lebih terbuka dan ruang lingkup pergaulan lebih luas. Pengajian agama banyak menghafaz, namun kurang ditekankan bagaimana qawaid (formula) diaplikasikan di dunia nyata. Ini sangat boleh dibantu melalui budaya pengajian sains yang banyak menguji bagaimana formula diaplikasi di alam praktikal. (4) Penguasaan 2 bahasa utama, Arab dan English, menjanjikan masadepan yang lebih cerah dalam menggarap ilmu dan penemuan baru, serta mengikuti dan memahami percaturan dunia Islam, dunia Barat dan Timur dulu dan semasa, serta yang akan datang yang semakin mencabar. (5) Islam kita akan lebih maju di hari muka jika generasi kita akan datang adalah lebih baik dan lebih berkualiti dari generasi kita hari ini, insyaAllah. Begitu juga sebaliknya, nauzubillah. Oleh itu, melabur tinggi di aspek pendidikan anak-anak bukan sahaja berbaloi, malah suatu kemestian jika kita dambakan kemenangan sedekat mungkin untuk Islam. Bak kata orang, "Jangan ikut resam guru silat. Dia ada 30 bunga silat, tapi dia ajar anak-anak muridnya 29 bunga sahaja, kerana takut lawan taukeh". Sebaliknya, dalam Dakwah & perjuangan Islam, jika kita duat hari ini ada 30 kemampuan, kita mahu duat generasi selepas kita punya 60 kemampuan, demi masadepan ummah yang lebih cerah. Dan beberapa prinsip hidup dan prinsip perjuangan lain yang bersifat peribadi. "Ijazah" ini baru anak tangga pertama wahai anakku. Cabaran dan langkah yang masih jauh di hadapan, menuntut kita berada di jalan yang sahih hari ini dan esok. Itu yang paling utama dalam menuju keredhaan Tuhan. Teruskan perjalanan. So far so good. Baba ditahap confident yang sangat tinggi pada hari-hari ini di atas pencapaian kalian. Syukur الحمد لله بنعمته تتم الصالحات alhamdulillah. Us. Abdul Halim Abdullah B.Engineering (Queensland) 1987 B.A. (Al-Azhar) 1993, G.D. (Cairo) 1996 22 Oktober 2018 Follow Us.Halim telegram channel : https://telegram.me/ustabdulhalimabdullah