RIBUAN HADIR MALAM BERSELAWAT MENJUNJUNG DAULAT, DEKLARASI MUAFAKAT JELATA DIMASYHURKAN
JENJAROM, 17 Jun – Kira-kira 3,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir memeriahkan Program Malam Berselawat Menjunjung Daulat (MBMD) sempena sambutan Awal Muharram 1448H yang berlangsung di Masjid Bandar Saujana Putra, di sini malam ini.
Program anjuran Sekretariat Muafakat Jelata Menjunjung Daulat (MJMD) itu telah dirasmikan oleh YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Turut hadir ialah Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan dan Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni sebagai panel Forum Perdana, manakala Ustaz Angah Sunan bertindak sebagai moderator.
Program yang berlangsung dari jam 3 petang hingga 10.30 malam itu menampilkan pelbagai pengisian termasuk lebih 40 pameran dan reruai komuniti, aktiviti kemasyarakatan, persembahan kebudayaan, forum perdana, majlis selawat dan munajat sempena kedatangan tahun baharu Hijrah.
Kemuncak program menyaksikan pemasyhuran Deklarasi Muafakat Jelata Menjunjung Daulat yang menggariskan komitmen rakyat untuk menjunjung Institusi Raja-Raja Melayu, memperkukuhkan perpaduan nasional, mempertahankan kesucian Islam, memperkasa pendidikan kenegaraan serta menolak budaya fitnah dan perpecahan.
Berucap ketika merasmikan program tersebut, YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin berkata penganjuran MBMD amat bertepatan pada ketika institusi Raja-Raja Melayu berdepan pelbagai cabaran dan tohmahan.
“Ketika institusi kesultanan Raja Melayu diasak dengan pelbagai tohmahan dan cacian, saya amat bersyukur serta berbangga dengan penganjur yang memainkan peranan memupuk muafakat masyarakat umat Islam untuk sama-sama berjuang mempertahankan kedaulatan Raja,” katanya.
Sementara itu, Sekretariat MJMD menyifatkan sambutan yang diberikan sebagai manifestasi kecintaan rakyat terhadap agama, perpaduan nasional serta Institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi tonggak kedaulatan negara.
Menurut sekretariat, MBMD bukan sekadar program keagamaan, malah menjadi platform penyatuan masyarakat yang merentasi pelbagai latar belakang dalam semangat muafakat dan keharmonian.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, sukarelawan dan masyarakat setempat dalam menjayakan sambutan Awal Muharram yang bertemakan perpaduan, kedaulatan dan kecintaan terhadap agama, Raja serta negara.
“Junjung Daulat, Jelata Muafakat”
#MalamBerselawatMenjunjungDaulat #MuafakatJelataMenjunjungDaulat #AlifMimSin #TigaKotaSuci #PeradabanTimur
Siaran media ini dikeluarkan oleh : Sekretariat MJMD