Ingat lagi 5 tahun lepas masa kami pergi beraya ke rumah seorang kawan kami. Beliau ini dikenali sesama kami hanya ada sebuah kedai runcit di kampungnya. Namun setiap kali kami ajak lepak, beliau sanggup turun.
Setiap kali beliau datang, beliau akan pandu Proton Saga. Dan kami selalulah duk perli, cakap-cakap serta suruh dia berniaga betul-betul supaya dia boleh pakai kereta sedap sikit.
Selepas beberapa kali kami duk bantai dia, dia pun setujulah nak buat makan-makan di rumah. Katanya kalau dah sampai nanti telefon, dia mai ambil tepi simpang.
Waze punya Waze, sampailah ke kawasan rumahnya. Saya duk rasa kena prank. Takkanlah dia tinggal di kawasan elit tahap rumah 3-4 tingkat. Haha. Dalam 5 minit dia datang dengan motor EX5, beritahu guard dan saya dapat masuk. Saya pun ekori dia dan sampailah di sebuah rumah 4 tingkat, pagar eletrik terbuka perlahan dan dia pun suruh saya park sebelah kiri rumahnya.
Kawan-kawan lain dah ada yang sampai. Semua muka kelat.
Hahahaha.
Dia ada sebiji Porshe Cayenne, BMW GT, Vellfire Transformer (baru beli) dan Proton yang selalu dia pandu jika jumpa dengan kami.
Kami pun masuklah ke dalam rumahnya. Ada emak ayahnya sekali. Habis semua pakat diam, terpandang-pandang dalam rumah ada itu ada ini. Kawan kami langsung tak ada perli kami semula. Dia hanya layan kami makan dan sembang seperti biasa.
Apabila dia masuk je ke dapur ambil makanan, kami pun sembang dengan ayahnya, tanya sebenarnya dia kerja apa.
Ayahnya cakap,
“Dah lebih 10 tahun dia buat jual beli hartanah. Mula-mula dulu susah juga. Sekarang bolehlah, jual sana, beli sini, ini dia baru je beli dalam 6 tahun lepas. Dia ajak pakcik duduk sekali. Bawah sekali ni ruang tamu kongsi semua orang. Tingkat 2, rumah pakcik dengan makcik, tingkat 3 bilik anak-anak dia, tingkat 4 bilik dia.”
Saya pun mencelah, “yang dia buka kedai runcit tu pakcik?”
“Ohhh dia ada cerita ya, itu untuk abang sulong dia. Dia ni duk bantu adik beradik. Dia bukak kedai runcit tu di kampung sana. Suruh abang dia jaga. Adalah orang jaga rumah pakcik di kampung. Jadi dia pun ada kerja.”
Kami pun serentak “oooooo”.
Masa kami nak balik, bersalam, saya sempat tumbuk manja perut dia. Selama kami perli dia dan masing-masing bawa kereta sedap depan mata dia, dia langsung tak jawab apa-apa.
Rupanya Proton dan motor itu kata beliau ialah kereta yang beliau pernah guna masa jadi ejen rumah dulu. Dan sekarang kereta yang sama bawa pergi pasar, pergi masjid. Kereta yang banyak bawa pahala katanya.
Kami pun beransur balik.
Baru nak sampai rumah, kawan kami pesan dalam Group Whatsapp, “Jangan pulak sesiapa yang sebar yang rumah aku gitu gini. Itu semua hak Allah, bukan aku punya. Dia boleh beri, Dia juga boleh ambil. Aku guna sahaja semasa diberi kesempatan. Aku tak tunjuk sebab itu bukan matlamatnya.
Aku beli sebab aku mampu. Kereta itu pun untuk imej bisnes. Hanya orang tertentu sahaja akan nampak. Sesama kawan, aku takkan berlawan. Aku nak kita bersahabat bukan sebab itu. Sebab kita dah lama kenal. Bukan sebab pakai kereta sedap, atau ada sesiapa yang kaya antara kita, kita sanjung. Padahal semua sama sahaja.”
Dan sampai sekarang saya duk terkesan. Sungguhlah, patutlah orang yang dah kaya ini, dia tak peduli pun dia pakai baju apa, dia pakai kereta apa, dan duduk mana.
Depa relaks ja pakai seliparlah, pakai gitu ginilah. Yang kita ini duit ada tara itu sahaja pun dah nak pokai apabila sekali belanja. Huhuhu. Sekali okey, terus nipis poketnya.
Itu beza pemikiran orang kaya yang beriman dan kita. Mereka fokus untuk bisnes, dan kemudian fokus itu dibawa kepada hasil lalu membantu ramainya orang.
Kita pula, belum ada hasil sudah mahu berlakon kaya. Kemudian belum apa-apa sudah kemain jadi bos garang, ala begitu begini, syarikat hancur, pekerja lari, kita salahkan orang.