Awal pagi itu hari semasa dalam perjalanan ke Mentakab, saya duk dengar Sinar Fm. Ada yang saya kagumi lagi hormati, Dato Dr. Haji Fadhilah Kamsah (DMFK) bersama dengan para deejay.
Selang seli mereka bersembang, ada satu panggilan dari seorang wanita. Beliau berkata yang hidupnya stress kerana perangai ayahnya sendiri.
Ayah sudah terbaring, sakit dan beliau bersama adik dan keluarga menguruskan ayahnya. Namun ada seperkara lagi yang beliau tak tahan, iaitu ayahnya suka marah-marah dan memaki beliau.
Nak uruskan najis, makan pakai, semuanya beliau buat, namun bersama dengan suara bingit ayah yang marah itu ini.
Beliau stress. Kerja lebih 3 jam sehari berhadapan dengan trafik jem, balik rumah perlu uruskan anak dan ayahnya juga.
Beliau menangis meminta bantuan sedikit pesanan, nasihat dan kata-kata hikmah dari DMFK. Saya bersetuju dengan DMFK apabila kita sebagai seorang anak, kena tahan dengan perangai ayah.
Dan kita sebagai anak, kena berusaha untuk ayah solat, kerana solat itulah yang menghalang ayah berperangai yang bukan-bukan. Saya gembira DMFK memberi nasihat begitu.
Dan saya juga terfikir, kita selalu memandang kepada masalah. Kita tak mahu melihat diri kita sendiri. Dalam hal ini, saya belajar dari kawan baik saya sendiri yang menguruskan ayahnya juga.
Hampir sama. Beliau sampai ke tahap berhenti kerja dan buka kedai beger di hadapan rumahnya hanya kerana nak jaga ayah. Emak dah lama meninggal dunia.
Isteri dan 3 anak beliau, duduk bersama.
Oleh kerana adik beradik lain tak tahan dengan perangai ayah yang tak sabar kerana nak urus najis, nak urus makan pakai, maka semua adik beradik tak mahu jaga ayah. Jadi dialah yang bantu.
Dia sediakan bilik utama (master bed room) untuk ayahnya kerana ayah memerlukan tandas sendiri. Isterinya akur sahaja.
Saya pernah pergi beraya ke rumahnya dan dengar sendiri ayahnya maki hamun anaknya ini (kawan saya ini) dengan perkataan babi, bodoh, keldai dan sebagainya kerana lambat naik ke atas.
Beliau hanya senyum sahaja.
Kawan saya ini serap sahaja segalanya. Tadi, saya terus mesej dia, teringat kisahnya.
Saya tanya pendapat, Kata dia, “Allah uji kita dengan ujian yang berbeza. Inilah ayah aku. Aku hadap segalanya. Dia kata aku begitu begini, aku ok. Sebab dia ayah aku.
Kita kena tengok diri kita, tak payah stress. Aku boleh ja bergaduh dengan adik beradik aku. Tak tahan bau tahi. Tak tahan nak urus ayah sendiri. Tapi aku malaslah. Aku ambil jelah sebagai tanggungjawab. Dan bila aku dah genggam, aku hadam semuanya.
Kau pun kena macam tu. Jagalah bapak sendiri. Kita tak tahu kita nanti macam mana. Ayah aku dah takda, tapi aku puas dapat jaga dia. Alhamdulillah.”
Kadang-kadang. Kita hanya nampak benda yang bawa masalah dalam hidup kita. Kita rasa itu punca kita stress dan sebagainya.
Namun jika kita tengok diri kita, entah-entah kita yang kena berubah. Dari duk melawan, baik kita terima dan hadam. Kita kena jadi kuat. Allah takkan bebankan kita semudah itu.
Itukan keluarga. Boleh nak menangis, boleh nak bersedih, namun segala itu ada ganjarannya dan kena percaya bab-bab begini. Ini hal Tuhan.
Ayah kita, emak kita, bab ujian, kita kena hadap perlahan-lahan. Banyaknya ujian yang datang adalah untuk kita terima. Memang ya, berbeza, kenapalah itu kenapalah ini, namun itulah segalanya. Tak ada ganti, tak ada boleh dicari dan dibeli.
Hari ini kita dimaki oleh ayah yang tidak berdaya, hanya kerana marah dan sedih dengan tidak upaya dirinya sendiri. Kita yang bijak, boleh kerja, boleh bangun dan hidup bebas ini, pasti lebih kuat.
Tahanlah, demi ganjaran yang Allah akan beri. Buat puan tersebut, cubalah ambil sedikit waktu untuk bertenang. Take 5 kata orang.
Rehat dan ambil nafas sekejap. Isi kembali tenaga dan kembali berjuang demi ayah yang tersayang. Ini sahaja yang kami mampu berharap dan berdoa buat puan yang baik.
Kami yakin, Puan mampu hadapinya.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Tabahkan puan itu, Ya Allah.