Pernah satu hari itu, saya berkejaran kerana ada 1 lagi meeting di Bangi sebelum waktu maghrib.
Pakcik yang ini mahu saya consult tentang anaknya nak buka Gym, nak kena bantu content untuk media sosial huhu. Saya pergi ke rumahnya, ya Tuhan, 5 tingkat.
1 tingkat, ruang tamu.
1, ruang solat, library dan ada area macam boleh duduk-duduk santai. Kemudian 1 tingkat untuk anak perempuan dan bilik beliau.
1 tingkat lagi untuk anak lelaki,
Dan 1 tingkat lagi untuk dapur dan seperti taman ada pokok siap macam-macam ada.
Saya duk bertanya apa bisnes yang beliau duk buat. Rupanya kontraktor besar. Orangnya islamik ya amat. Baru ja sampai, soalannya “kau dah solat Khairul?” Kahkah memang belumlah sebenornya. Haha.
Selesai sahaja, kami duduk di taman tepi rumahnya. Ada kolam renang bagai. Saya suka sekali beliau pesan kepada saya bab proses kita ini sudah ada peningkatan dalam hidup,
Ada 6.
Kata beliau, kalau kita sedang lakukan yang ini, maka kita punya jalan itu dah betul dah,
1. Anda lebih baik dari tahun lalu. Jika dulu belajar, sekarang sudah bekerja, jika dulu di jawatan A, sekarang sudah di B, jika dulu sendiri uruskan bisnes, sekarang sudah ada pekerja.
2. Anda membaca lebih banyak buku dari tahun lalu. Contohnya tahun lalu anda membaca 12 buku setahun. Bermaksud anda membaca 1 buku sebulan. Jika masuk bulan 4 tahun ini kalian boleh baca 8-10 buku, bermakna kalian memang seorang yang sedang menuju ke pintu sukses.
Paling power ialah kalau boleh khatam Quran 2 kali setahun. Bagus sangat dah itu.
3. Anda luangkan masa melihat wajah emak dan ayah sekurang-kurangnya 2 kali sebulan. Jika lebih, lagi bagus. Ia adalah doa yang sangat bermakna untuk anda terus melangkah ke tangga lebih tinggi.
4. Anda lebih banyak bersedekah dan rasa kenikmatan memberi itu adalah sebuah kepuasan. Lagi banyak memberi, lagi seronok walau dalam keadaan tidak sesenang mana.
Orang yang tidak berkira-kira semasa menghulur biasanya orang yang tenang dalam menerima rezeki walau ianya kecil.
5. Kamu lebih banyak mendengar dari banyak bercakap. Kebiasaan dalam proses belajar menjadi yang terbaik, mengurangkan aktiviti bersembang akan memberi lebih banyak pelajaran dari banyaknya buang masa mengangkat diri sendiri dan cerita itu ini.
Beliau kata, beliau dah tua bolehlah sembang kejayaan. Masa muda umur 28 tahun walau berjaya menang tender RM12 juta, tetap kena diam dan rileks, belajar lagi dari otai-otai. Tak payah sembang besar.
6. Kamu merasa puas dapat berpuasa sunat, rasa seronok menunaikan solat-solat sunat waktu malam. Terutama bab sebelum subuh, hal solat berjemaah dan tentunya sentiasa solat di awal waktu mesti diutamakan. Kalau dah mula buat, konsistenlah.
Jika kalian sedang lakukan 6 perkara ini, ketahuilah yang boleh jadi kalian antara yang tidak terganggu dengan masalah ekonomi begitu begini.
Hal rezeki ini, hal kita dengan orang, hal kita dengan Tuhan. Kita mahu Allah pemurah, kita dahulu kena pemurah. Kata beliau, beliau pernah rasa naik turun bisnes, namun tetap ada rezeki yanf Allah beri.
Tak ada sampai tak berduit bagai. Ada ja yang datang begitu begini. Ya Rabb bestnya dengar.
Kata beliau lagi, “kena jadi pemurah dengan diri sendiri, perbanyakkan ilmu, perbanyak sabar, dan perbanyak juga kasihankan diri. Jika buruk, cantikkan dengan merendah diri, jika bodoh, pandaikan dengan pergi belajar, jika degil, patahkan dengan perbanyak sabar dan jika berdosa, mohon diampunkan dengan banyak-banyak bertaubat. Semua itu adalah pintu kepada rezeki.”
Huhu insofnya. Alhamdulillah. Terima kasih Allah.
Saya duk terfikir, kadang-kadang saya ini pergi jumpa orang bukan sekadar tentang bisnes, namun ia tentang cerita yang saya boleh kongsikan kepada kalian.
Allah maha hebat. Rasa malu pun iya, kita tak banyak beribadat seperi beliau ini, namun Allah masih beri rezeki. Huhuhu.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Selamat malam semua. Semoga bermanfaat.