Tak perlu risau dan menggelabah jika kita ketinggalan dari segi duniawi. Tenang-tenang sahaja. Dunia ni, mana yang sempat, kita ambil. Mana yang tak sempat, anggap sahaja itu bukan rezeki kita.
Dunia ini sementara. Harta benda dunia yang kita sibuk usahakan pasti kita akan tinggalkan. Orang yang di dalam kubur, jika ditawarkan kepadanya untuk hidup semula supaya dia dapat teruskan semula projeknya di dunia dahulu yang tidak sempat diselesaikan atau apa-apalah yang seumpamanya, pasti dia tidak mahu. Maka apa yang sepatutnya kita kejarkan ialah akhirat.
Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq r.a terkenal dengan sifatnya yang suka bersegera dan mendahului orang lain dalam melakukan kebaikan.
Dalam Sahih Muslim, ada hadis menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bertanya kepada para sahabat: "Siapakah di antara kalian yang berpagi-pagian dalam keadaan berpuasa pada hari ini?". Abu Bakar menjawab: "Saya".
Rasulullah s.a.w bertanya lagi: "Siapakah di antara kalian yang telah mengiringi jenazah pada hari ini?". Abu Bakar menjawab: "Saya".
Rasulullah s.a.w bertanya lagi: "Siapakah di antara kalian yang telah memberi makan kepada orang miskin pada hari ini?". Abu Bakar r.a menjawab: "Saya".
Rasulullah s.a.w bertanya lagi: "Siapakah di antara kalian yang telah menziarahi orang sakit pada hari ini?". Sekali lagi Abu Bakar menjawab: "Saya".
Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidak berhimpun amalan-amalan itu pada diri seseorang melainkan dia pasti akan memasuki syurga".
Kata al-Qadhi 'Iyadh, maksudnya ialah dia akan memasuki syurga tanpa hisab dan tanpa dibalas amalannya yang buruk kerana kalau sekadar masuk syurga, hanya semata-mata mempunyai iman sahaja pun (tanpa amal) sudah boleh masuk syurga.
Semoga Allah menanamkan sifat ini dalam diri kita.
https://t.me/TheIrfanMahfuzMostrar más ...