Leher yang terasa tegang Arfina kendurkan dengan tangan. Mata dipejam rapat saat bunyi keletuk kedengaran hasil gerakan tangannya di situ.
Nafas panjang dihela. Sudah tiga hari berada di Kedah, sikit pun kesibukannya tak surut. Semuanya demi francais Love Coffee yang bakal dibuka di Kulim. Termasuk francais kali ini, Love Coffee sudah memiliki 10 francais di seluruh Malaysia.
Dan, sungguh Arfina bersyukur. Penat, tetapi enggan mengeluh. Ini semua rezeki daripada-Nya. Setelah susah payahnya dahulu, akhirnya Allah lapangkan jalan kehidupannya.
Jam yang masih melingkari tangan dikerling. Pukul lima petang. Nasib baiklah dah solat Asar tadi di surau awam tadi sebelum balik semula ke hotel. Mata pun memang hanya nampak katil saja sekarang ini.
Tudung ditanggal, Arfina pantas menaiki katil sebelum tubuh direbah bersama helaan nafas panjang. Penat tapi puas hati. Segala perancangan untuk francais barunya berjalan lancar. Semoga tiada masalah di akan datang dan kedainya boleh terus berkembang.
Baru mata hendak tertutup, Arfina tersentak apabila telefon bimbitnya tiba-tiba berdenting. Bersama kerutan di dahi, telefon bimbit dicapai dengan tangan.
Tertera nama Fatihah pada skrin.
Bos, kami nak keluar malam ini. Cik Arfina nak ikut?
Arfina diam seketika. Berfikir. Kalau 'kami' itu, pastinya merujuk kepada staf-stafnya yang lain. Tak tahu penat ke mereka ini? Dia ini pun, dah nak karam di atas katil ini. Kalau boleh, malam ini nak berenang atas katil saja.
Pergi mana?
Tetap juga Arfina bertanya sebelum menolak ajakan itu.
Pasar malam Kelang Lama.
Sekali lagi, kening berkerut. Alahai, macam tak pernah pergi pasarlah pula. Di KL, tak cukup pasar ke? Pasar Seni ada, pasar basah ada, pasar kering ada.
Buat apa?
Dah dihantar, baru terasa soalan itu bagaikan soalan bodoh. Buat apa lagi ke pasar kalau bukan nak membeli?
Cari marka...
Hampir tersedak Arfina membaca balasan itu. Lain yang dijangka, lain pula yang dibalas. Tak sempat nak membalas, satu lagi mesej masuk.
Guran, Cik Arfina. Cik Arfina nak ikut tak? Ambil angin, makan-makan, shopping sikit.
Arfina garu pipi. Berfikir. Kalau ikutkan badan, memang penat. Tapi, macam syok juga boleh pergi berjalan malam ini. Tiba-tiba, hati terasa teringin untuk mengikut sama. Padahal, bukannya dia tak pernah jejak kaki di pasar.
Pukul berapa?
Lepas Isyak. Okey. Saya ikut.
Dan, iPhone di tangan terus ditutup sebelum dicampak ke atas tilam semula. Mata dipejam rapat. Kata orang, tak elok tidur lepas Asar. Tapi, kali ini dia nakkan pengecualian. Sungguh, tubuh rasa nak tercabut dua. Bukannya banyak buat aktiviti lasak pun, tapi banyak berbincang dan pakai otak.
Dan dalam sesaat, mata Arfina terus terpejam. Hanyut.
@CerpenByMeβ₯οΈπ