en
Feedback
MASJID AL-HIDAYAH DESA COALFIELDS - Info

MASJID AL-HIDAYAH DESA COALFIELDS - Info

Open in Telegram

Menyalurkan maklumat terkini dan info aktiviti Masjid Al-Hidayah Desa Coalfields. Mohon disebarkan link ke channel ini agar lebih ramai yang mendapat manfaat. Sebarang pertanyaan, blh hubungi Tuan Nazir (0182644330)

Show more
542
Subscribers
No data24 hours
-27 days
-330 days
Posts Archive
Sabtu – BUBUR LAMBUK DAY @ MAHDC . Alhamdulillah, hari ini Sabtu kembali dengan suasana yang cukup dinanti-nantikan — BUBUR LAMBUK DAY @ MAHDC. Sejak petang semalam lagi, tok-tok siak bersama team dapur MAHDC telah pun bertungkus-lumus menyiapkan bahan-bahan, dan hari ini disambung lagi dengan persiapan terakhir sebelum periuk besar mula mengelegak sekejap lagi. Beginilah rutin indah di Masjid Al-Hidayah Desa Coalfields setiap tahun, apabila tiba bulan Ramadhan — agihan bubur lambuk diadakan pada setiap hari Sabtu sebagai tanda kebersamaan dan kasih sesama jemaah. . Agihan bubur lambuk insya-Allah akan bermula sejurus selesai solat Asar. Sebab itu kami mengajak tuan puan untuk sama-sama hadir menunaikan solat Asar berjemaah di masjid, dan sebelum melangkah keluar pagar masjid, jangan lupa singgah mengambil bubur lambuk yang telah disediakan. Agihan adalah secara “siapa cepat dia dapat” sehingga habis stok. Kami tidak berani berjanji semua akan dapat, namun yang pasti, jumlah yang dimasak kali ini memang banyak, insya-Allah. . Dalam kesederhanaan itu juga, jika ada lebihan seringgit dua daripada belanja di bazar Ramadhan DC, sudilah kiranya dimasukkan ke dalam tabung masjid bagi membantu sedikit sebanyak kos operasi sepanjang bulan Ramadhan ini. Semoga setiap langkah hadir ke masjid, setiap sudu bubur yang dikongsi, dan setiap sen yang diinfaqkan menjadi amal yang memberatkan timbangan kebaikan kita. Ramadhan ini hadir untuk mendidik hati agar lebih sabar, lebih pemurah dan lebih hampir kepada Allah SWT.

TERAWIH MALAM KEDUA | UJIAN CUACA, TANDA KECINTAAN JEMAAH Semalam merupakan malam kedua solat Terawih di Masjid Al-Hidayah Desa Coalfields (MAHDC). Petang sebelumnya, kawasan sekitar Desa Coalfields diuji dengan hujan lebat disertai angin kencang, malah difahamkan terdapat beberapa kejadian pokok tumbang di sekitar kawasan. . Di perkarangan masjid sendiri, keadaannya agak mencabar — lantai beranda basah sepenuhnya, karpet luar turut terkesan, papan kenyataan tumbang, langsir tercabut dan ada yang patah cangkuknya. Tok-tok siak, dibantu oleh imam-imam muda, bertungkus-lumus membersihkan kawasan dalam keadaan waktu Maghrib yang semakin hampir. Penat, basah dan tergesa — namun semua dilakukan demi keselesaan jemaah. . Alhamdulillah… kehadiran jemaah untuk solat Terawih tetap menggalakkan, malah dirasakan tidak kurang daripada malam pertama — bahkan mungkin lebih ramai. Sungguh mengharukan. Inilah bukti kecintaan jemaah kepada Ramadhan dan rumah Allah, walau diuji dengan cuaca dan keadaan. . Solat Terawih malam tadi telah diimamkan oleh AF Ustaz Jalil Hanafi, yang kemudiannya turut menyampaikan tazkirah Ramadhan selepas solat witir. Bacaan beliau dalam solat Terawih yang mendayu, merdu dan penuh penghayatan, membuatkan jemaah larut bersama ayat-ayat suci, hingga ada yang terasa tidak sedar solat hampir selesai. Kalaulah boleh, terasa ingin ditambah lagi rakaatnya. . Tazkirah beliau disampaikan dengan gaya santai, bersahaja dan penuh selingan humor. Jemaah tersenyum, ada yang ketawa kecil , tak kering gusi dibuatnya. Namun di sebalik kelakar dan gaya sempoi, mesejnya jelas dan sampai, menyegarkan jiwa setelah kepenatan berpuasa di siang hari dan beribadah di malamnya. . Ramadhan mendidik hati untuk tenang bersama Al-Quran, dan mengajar kita bahawa ibadah yang dilakukan dengan penghayatan akan terasa singkat, bukan membebankan. Semoga setiap langkah ke masjid, setiap titis peluh yang dicurahkan, dan setiap ayat yang dibaca serta didengar, menjadi saksi kecintaan kita kepada Allah SWT.

Alhamdulillah, bermula malam pertama Ramadhan lagi, Masjid Al-Hidayah Desa Coalfields telah memulakan Program Tadarus Al-Quran, sebagai usaha menyahut seruan menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan amal yang diberkati. . Masuk malam kedua, suasananya semakin rancak dan menggalakkan. Bukan satu, tapi pelbagai kumpulan terlibat — kumpulan otai, kumpulan dewasa, kumpulan remaja. Penyertaan Muslimat juga tak kurang meriahnya. . Sesungguhnya, tadarus bukan sekadar menyemarakkan semangat membaca Al-Quran, bahkan menjadi ruang saling membetulkan bacaan. Kadang2 bila membaca sendirian, kita tidak sedar kesilapan sendiri. Dalam tadarus, kawan tegur kita, dan kita juga boleh tegur kawan — dengan adab, hikmah dan kasih sayang. Dari situ, bacaan diperbetulkan, kefahaman dipertingkat dan ilmu Al-Quran turut bertambah. . Masih di awal Ramadhan, peluang masih terbuka luas. Tuan-tuan dan puan-puan yang ingin turut serta, datang sahaja ke masjid, jumpa Tok Nazir atau Tok Imam, atau wakil Muslimat. Insya-Allah, pihak kami akan bantu sesuaikan penyertaan mengikut kumpulan yang bersesuaian. . “Bulan Ramadhan adalah bulan diturunkan Al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan terhadap petunjuk itu serta pembeza (antara yang benar dan yang salah).” (Surah Al-Baqarah: 185) . Semoga Ramadhan kali ini benar-benar mendekatkan kita dengan Al-Quran, bukan sekadar dibaca di bibir, tetapi dihayati dan diamalkan dalam kehidupan.

Alhamdulillah.. Para amil MAHDC tak tunggu lama. Hari pertama Ramadhan, kami terus mula beroperasi untuk urusan kutipan zakat agar jemaah boleh tunaikan kewajipan awal, tenang dan tanpa tergesa-gesa. . Maklumlah, bila masuk hujung Ramadhan nanti, kepala dah penuh dengan macam-macam urusan. Nak kejar amal, nak buat persiapan raya, nak fikir balik kampung… Jadi lebih baik kita selesaikan zakat lebih awal, elakkan lupa dan elakkan kesesakan saat akhir. , Sebagaimana peringatan dalam khutbah Jumaat yang lalu, bagi mereka yang bermastautin atau bekerja di Selangor, adalah afdhal menunaikan zakat di Selangor. Seiring dengan itu, MAHDC turut menyediakan kemudahan perkhidmatan ini untuk ahli kariah dan masyarakat setempat. . Lokasi & Waktu Operasi Kaunter Zakat: . • Masjid Al-Hidayah Desa Coalfields Setiap selepas solat fardhu dan solat witir . • Restoran Keluarga Mesra Setiap selepas solat Asar . • Pasaraya Best Setiap selepas solat Asar . • KipMall Desa Coalfields Tingkat atas & bawah 10.00 pagi – 7.00 petang (Rehat semasa waktu solat) . Makluman Tambahan Pada tahun ini, Lembaga Zakat Selangor turut memperkenalkan kaedah baharu pembayaran zakat bagi memudahkan urusan para pembayar zakat. Untuk maklumat lanjut, jemaah dialu-alukan berjumpa mana-mana amil bertugas di kaunter yang disediakan. Insya-Allah, kami sedia membantu.

SUASANA IFTAR DAY-1 RAMADHAN @MAHDC . Alhamdulillah, majlis iftar di Masjid Al-Hidayah Desa Coalfields pada hari pertama Ramadhan ini berlangsung dengan suasana yang tertib dan penuh keberkatan. Kehadiran para muslimin dan muslimat amat menggalakkan, mencerminkan semangat kebersamaan serta keindahan ukhuwwah dalam bulan Ramadhan al-Mubarak. . Sebanyak 150 hingga 170 pek juadah iftar telah disediakan untuk para jemaah. Menu pada hari ini ialah Briyani Kambing, yang disediakan oleh Restoran Keluarga Mesra. . Majlis iftar pada hari ini adalah hasil sumbangan dan tajaan Kejiranan DC 1/1, yang merupakan penyumbang terawal bagi program iftar Ramadhan tahun ini. MAHDC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para penyumbang atas kesudian menunaikan amanah dan berkongsi rezeki bersama para jemaah. Semoga segala sumbangan diterima sebagai amal soleh dan diganjari pahala yang berlipat ganda oleh Allah SWT. . Usai berbuka puasa, para jemaah menunaikan solat Maghrib secara berjemaah, melengkapkan pengisian Ramadhan dengan ibadah yang dituntut. . Sesungguhnya, amalan menjamu orang berpuasa merupakan antara amalan yang sangat dituntut dalam bulan yang mulia ini, sebagaimana sabda Rasulullah SAW bahawa ganjaran bagi orang yang memberi makan kepada orang berpuasa adalah seumpama pahala orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangkan pahala mereka sedikit pun. . Sehubungan itu, pihak masjid amat mengalu-alukan mana-mana individu, keluarga, kumpulan kejiranan atau organisasi yang berhajat untuk menaja juadah iftar di masjid: • RM3,000 bagi satu hari, atau • RM150 bagi satu slot Untuk maklumat lanjut dan urusan tajaan, sila hubungi pihak pengurusan masjid. . Semoga Ramadhan ini terus menyuburkan budaya memberi, memperkukuh ukhuwwah, dan mendekatkan kita semua kepada Allah SWT.

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN . Saf Jawatankuasa MAHDC merakamkan ucapan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak 1447 Hijrah kepada seluruh jemaah dan ahli kariah MAHDC. . Ramadhan hadir sebagai bulan tarbiah dan pengampunan, yang membuka ruang luas untuk memperbanyakkan amal soleh, menghidupkan masjid serta memperkukuh hubungan hamba dengan Allah SWT. Mudah-mudahan segala ibadah, pengorbanan dan ketaatan yang dilaksanakan sepanjang Ramadhan ini diterima serta dikurniakan ganjaran yang berlipat ganda. . ===================== . AKTIVITI & PENGIMARAHAN SEPANJANG RAMADHAN . • Penyediaan Iftar Harian • Solat Terawih dan Witir • Tazkirah Ramadhan • Tadarus Al-Quran • Program Qiamullail (10 Akhir Ramadhan) • Kuliah Subuh (Sabtu / Ahad / Cuti Umum) • Majlis Khatam Al-Quran • Sahur (10 Akhir Ramadhan) • Agihan Bubur Lambuk (setiap Sabtu) • Kaunter bayaran zakat fitrah • Sumbangan Aidilfitri untuk asnaf dan anak yatim . ===================== . *SUMBANGAN RAMADHAN* . “Sedekah yang dilakukan pada bulan Ramadhan mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah SWT.” . Tuan/puan dijemput untuk bersama-sama menyumbang bagi menyokong program Ramadhan dan pengimarahan Masjid Al-Hidayah Desa Coalfields. . Sumbangan boleh disalurkan melalui: BANK ISLAM MASJID AL-HIDAYAH DESA COALFIELDS No. Akaun: 14153010047044 (Rujukan: Ihya’ Ramadhan) . Setiap sumbangan yang disalurkan menjadi saham kebajikan dan amal jariah yang berterusan.

MALAM PERTAMA RAMADHAN DI HATI KAMI . Alhamdulillah… Malam pertama Ramadhan di Masjid Al-Hidayah Desa Coalfields benar-benar meninggalkan rasa syukur yang mendalam. . Walaupun hujan turun agak lebat di luar masjid, namun jemaah tetap hadir tanpa berganjak, memenuhi setiap ruang solat yang disediakan – muslimin dan muslimat – berdiri dalam saf, tenang dan penuh pengharapan. . Bacaan Solat Terawih yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Ismail Marwan As-Sudaisi, Imam 2 MAHDC, mengalir lembut ke dalam jiwa, membawa jemaah hanyut menghayati ayat-ayat suci al-Quran dalam suasana yang begitu khusyuk dan mendamaikan, bagaikan mendengar bacaan dari Imam Masjidil Haram di Makkah. . Usai solat witir, hati-hati Jemaah disentuh dengan Tazkirah Ramadhan oleh AF Ustaz Ahmad Yazid Mohd Zainon, mengingatkan bahawa Ramadhan bukan sekadar hadir di kalendar, tetapi hadir untuk membentuk hati dan memperbaiki diri. . Inilah Ramadhan yang kami rindukan. Masjid yang hidup. Hati yang kembali tunduk. Jiwa yang mencari ampunan. . Semoga Allah menerima setiap langkah kita menuju ke rumah-Nya