Itu hari apabila saya tulis tentang tak boleh rasa lebih besar dari ibu bapa, ramai yang PM bertanya bagaimana jika ibu bapa kita suka memberi perhatian lebih kepada adik beradik yang lain selain kita.
Kawan-kawan, saya guna konsep ini. Saya lakukan kepada semua orang termasuk ahli keluarga. Maka saya sentiasa bahagia dan happy alhamdulillah.
Sebagai ibu bapa:
- mereka jauh lebih tahu anak mana yang memerlukan perhatian.
- mereka jauh lebih memahami anak mana yang memerlukan bantuan.
- mereka jauh lebih faham anak mana yang sentiasa perlu dibantu mengolah pemikiran.
- mereka jauh lebih arif anak mana yang memerlukan sokongan walau sekecil-kecil hal.
Sama juga kita, kita jauh lebih tahu ibu bapa kita bagaimana. Sebagai anak, perlu letak dalam kepala jika ibu bapa kita sudah melayan kita dengan baik, maka kita juga tak perlu berburuk sangka.
Kadang-kadang, kita yang berlebih-lebih dalam banyak hal.
Kawan-kawan,
Kita tahu sedikit sahaja. Dan kita sudah mahu bantai keseluruhan cerita. Cuba ubah pemikiran kita sekarang kepada doa yang begini:
- Ya Allah, aku lihat ibu bapaku gembira dapat bantu adik-adik, sedang aku anak sulong tertinggal pelajaran kerana tak dapat sambung belajar untuk bantu mereka juga. Tak apa Ya Allah, jika itu yang gembirakan ibu bapaku, kuatkan mereka untuk mereka terus menyayangi adik-adikku seperti hari ini Ya Allah.
- Ya Allah, ibu bapaku sering tak melihat apa yang aku kerjakan. Sering tak perasan sering juga tak endah, namun tidak kepada adik beradikku yang lain Ya Allah. Oleh itu aku mohon campakkanlah ke dalam hati aku kebaikan dan keikhlasan, aku mahu terus berbuat dan aku berharap ibu bapaku gembira dengan apa sahaja aku lakukan sama ada mereka tahu atau tidak Ya Allah.
- O Ya Allah, aku kadang-kadang berkecil hati apabila melihat ibu bapaku selalu melebih-lebihkan adik beradik yang lain. Namun Ya Allah aku sangat sayangkan mereka. Tak apalah hati aku begitu Ya Allah, yang penting mereka bahagia dengan apa yang mereka lakukan. Kebahagiaan mereka lebih penting dari hati aku Ya Allah.
Sekiranya kalian dah boleh berdoa begini, maka kalian akan perasan hati kalian makin kuat. Buat sesuatu hal tanpa mahu dipandang. Buat apa sahaja tak mahu pun diberi award atau disebut sana sini. Hanya buat.
Kita kena letak dalam kepala bahagian kita ialah sentiasa buat, sentiasa ada dan sentiasa berlemah lembut dengan mereka.
Biasalah orang tua, yang selalu datang ke rumah, yang selalu hadir, yang selalu ada, mereka kurang nampak. Mereka akan sentiasa teringat dan rindu anak yang jauh-jauh. Dan kita tak boleh nak berasa-berasa hati.
Tak boleh nak membanding-banding. Tanyalah sesiapa pun emak atau ayah, mereka akan jawab
"Semua sama ja. Mana ada lebih mana ada kurang, kau orang ja pikir bukan-bukan."
Iya kawan-kawan,
Kerana kita hanya tahu secubit, emak ayah kita tahu selaut. Jadi hormati sahaja.
Terus beri kasih sayang tanpa perlu ada alasan. Mendapat ibu bapa yang sebaik-baik adalah anugerah paling tinggi nilainya dalam kehidupan.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Orang bahagia ialah yang bahagia melihat orang lain bahagia. ❤️