Jadilah orang ini untuk rakan-rakan anda:
1. Dengar apa masalahnya, bukan potong dan tak habis-habis beri cadangan itu ini. Mendengar tanda anda sangat sayang kepadanya.
2. Sekiranya dia tidak bersama anda, maka sentiasalah ingat kebaikannya dan teruslah bercakap yang baik-baik tentangnya, itu tanda anda menghormatinya.
3. Apabila ingin memberi nasihat, berilah apabila diminta sahaja. Sekiranya sekadar dia mahu meluah, diam dan dengarlah tanpa komen apa pun.
4. Pastikan semasa berjumpa, bersembang, telefon itu diletakkan di tepi. Itu tanda hormat yang sangat tinggi kepada masa yang diluangkan.
5. Sekiranya dia berniaga, pastikan membeli diam-diam, dan sesudah beli ambil gambar bersama produk itu (selfie) dan cakaplah perkara kebaikan. Kesungguhan kawan kita berniaga adalah sebuah usaha penuh perit dan lelah. Berilah ayat yang baik seperti "done support!" "Aku dah beli!" "Tahniah wehhh!" Itu semua buat kalian akan sentiasa didoakan yang baik-baik.
6. Mendoakan beliau secara diam-diam. Apabila teringat, doa. Tak perlu beritahu doa apa, hanya doa. Apabila kalian berjumpa, mintalah sesama kalian untuk mendoakan sesama masing-masing.
Daripada Abi Darda’ RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ، إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ: وَلَكَ بِمِثْلٍ
Maksudnya: “Tidak ada seorang hamba yang muslim apabila berdoa kepada saudaranya yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat berkata kepadanya: dan bagi kamu sepertinya (seperti yang didoakan)”. [Riwayat Muslim (4912)]
Daripada Safwan bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ
Maksudnya: “Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)”. [Riwayat Muslim (4914)]
7. Di media sosial, sudah berkawan, maka jagalah hubungan sebaiknya. Jika tak setuju, maka diam. Jika suka, maka kliklah reaction mana-mana. Jika rasa dia sedang buat salah, maka PM lah dia.
Boleh jadi kesilapan dia hari ini akan buat dia berubah dan dia lebih baik dari kita. Beringat yang semua orang masih ada masa untuk berubah jadi baik. Sudah berkawan, jagalah.
8. Panggillah dia dengan panggilan yang dia suka. Sentiasa hormati hak kawan. Nama dia, gelaran dia, bukan benda yang boleh diketawa atau dipermainkan. Sekiranya dia tak suka, dia luahkan ketidaksukaan itu, maia hormatilah.
**
Kawan-kawan, kita tak suka orang buat itu ini kepada kita, maka kita pun kena tak suka buat begitu kepada orang lain.
Kita hanya boleh ubah diri kita supaya tak buat jahat. Bab orang buat kepada kita, sabar dan jika mampu, tegurlah.
Itu semua kebaikan. Kita nak hidup bahagia bersama rakan, kawan dan sahabat, maka kita kena mulakan.
Bismillah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Tak ramai kawan. 💔
Alhamdulillah.