cookie

Мы используем файлы cookie для улучшения сервиса. Нажав кнопку «Принять все», вы соглашаетесь с использованием cookies.

avatar

Kisah Seram t.me/BercakapDenganJin

MANUSKRIP BERCAKAP DENGAN JIN Karya TAMAR JALIS 🤲al fatihah kpd penulis Allahyarham dlm memori (13.9.1940 - 26.8.2018) . . KISAH SERAM / CERPEN 📝 Koleksi seram pelbagai sumber termasuk pengalaman admin dan followers BDJ sendiri.

Больше
Рекламные посты
3 331
Подписчики
Нет данных24 часа
+387 дней
+5030 дней

Загрузка данных...

Прирост подписчиков

Загрузка данных...

Sampai tengah malam Lebai Kidun menunggu di rumah Utih Juki, ayahnya juga menjengah balik. Lantas sahaja Utih Juki teendesak supaya mereka menyusur jalan kayu balak di tengah hutan. Manalah tahu Aki Dubin tersesat hingga menemui jalan balik ke kampung. Setidak-tidaknya laporkan sahaja kepada polis biar mudah jejaki Aki Dubin kalau tersesat di hutan belukar. Tetapi Lebai Kidun tidak percaya ayahnya tersesat di hutan. Dia mengesyaki emaknya bertambah uzur dipapah tatkala tengah malam. Wap dingin semasa angin bertiup sudah cukup membuatkan emaknya menderita. Sedangkan di tengah rumah pun emaknya minta lingkupkan berlapis-lapis selimut akibat sejuk menusuk, inikan meranduk sepi malam di tengah hutan! "Aki dengan Ngah Saelah selamat tu, Lebai," bisik Utih Juki seolah-olah dapat meramalkan keadaan orang tua berkenaan. "Harap-harap begitulah, Utih," keluh Lebai Kidun menatap muka jiran ayahnya. "Tapi, datuk tu dah seratus tahun umurnya," Dolah Ganyut bimbang keselamatan orang tua itu apabila berjalan kaki berbatu-batu meranduk hutan di sempadan. "Seratus tahun umur dia tak sama dengan awak, Dolah," sahut Utih Juki tersengih-sengih apabila kenang jirannya yang sudah lama menetap di pinggir hutan. Tahu sangat dia mengenai Aki Dubin tidak pernah jejak kaki ke kedai semenjak menetap di situ bersama isterinya. Aki Dubin sekadar pesan belikan garam sahaja sekiranya Utih Juki mahu ke kedai jauh di pekan kecil. Tidak pernah Aki Dubin minta belikan beras, gula, kopi, minyak masak atau apa sahaja dalam usianya sudah seratus tahun. Memang Aki Dubin menanam padi huma, tumbuk kopi sendiri, perah tebu buat gula atau masak santan kelapa sampai jadi minyak. Dalam usia tuanya Aki Dubin masih gagah menibar jala ke tengah sungai mencari ikan terbul, masai, susur batang atau sisik putih. Dia akan keringkan buat ikan masin dijemur dengan garam. Sebab itu Aki Dubin tidak akan teguk air paip disebabkan sudah menjadi kebiasaan minum air telaga seumur hidupnya. Masakan dia mahu menjamah gula, kopi, beras atau lain-lain di rumah Lebai Kidun kalau dibeli di kedai. Sampai bila pun dia tidak akan berselera mahu menjamah. Sebab itu dia bawa bekal air telaga apabila jejak kaki ke rumah Dolah Ganyut menjengah isterinya terkejang sakit. Utih Juki satu-satunya yang tahu mengenai rahsia orang tua itu, hingga dia kerap bertandang ke rumah Aki Dubin. Memang Aki Dubin tidak mahu Utih Juki bawa apa-apa pun ke rumahnya kalau dibeli dari kedai. Tidak satu pun yang kurang di dalam rumahnya kalau takat bekalan makan dia suami isteri. Sebab itu Aki Dubin tidak harap anak-anak membantu selagi dia masih gagah turun berkebun di keliling rumah. Setiap kali Utih Juki menjengah selepas habis isya, memang Aki Dubin; belum rebahkan badan. Dia tidak akan tidur kalau takat terkuap-kuap sahaja. Sekiranya Utih Juki terlelap tatkala rebahkan badan di tengah serambi, dia akan kejutkan sebaik sahaja tengah malam tatkala kuang galak bersahut di rimba. Cepat-cepat pula Utih turun ke telaga mengambil wuduk terus solat tahajud bersama. Kemudian dia ikut Aki Dubin berzikir hingga santak subuh. Bukan mudah dia mahu biasakan diri mengikut Aki Dubin bangun tengah malam. Sekiranya tidak tabahkan semangat. Tetapi Utih Juki bertandang ke situ memang harapkan dapat mengikuti orang tua itu sekali pun terpaksa melawan kelemahan yang menggangu dalam dirinya. "Aki Dubin takkan sesat di jalan," beritahu Utih Juki perlahan ingatkan Lebai Kidun apabila menjengah rumah Aki Dubin masih terkurici rapat. "Saya bimbang emak saya tengah uzur," tutur Lebai Kidun terharu dengan keputusan ayahnya larikan juga emaknya tatkala mereka seisi rumah tengah nyenyak tidur. "Ngah Saelah akan lebih uzur kalau berjauhan dari Aki Dubin," jelas Utih Juki tersenyum menatap muka Lebai Kidun. "Tak faham saya dengan sikap datuk tu!" gerutu Dolah Ganyut seolah-olah tidak mahu lagi bertahan menunggu datuknya. Kalau tidak kenang ayahnya berkuat mahu menunggu memang Dolah Ganyut akan gesa supaya balik sahaja tinggalkan kampung terperosok itu.
Показать все...
Memang tersinggung perasaan Ngah Saelah apabila anak cucu membantah kemahuan suaminya. Perkara umur mereka sudah terlalu tua tidak penting sangat. Apa salahnya anak cucu datang menjengah dia di rumahnya sekalipun jauh terperosok di kampung pedalaman sekiranya mereka benar-benar ambil berat. Kalau mereka merasakan sukar mahu datang menjengah biarlah dia terkejang dirawat oleh suaminya sahaja. Manalah mereka tahu perasaan orang tua seperti mereka berdua apabila anak cucu memaksa tinggalkan rumahnya di kampung pedalaman terperosok! Sewaktu bangun pagi untuk solat subuh, tiba-tiba sahaja Dolah Ganyut mendapati nenek dan datuknya tidak lagi berada di tempat tidur. Dia tahu datuknya mengajak neneknya tinggalkan rumah berkenaan tatkala mereka malam mereka tengah nyenyak tidur. Cepat-cepat dia beritahu ayahnya Lebai Kidun mengenai keputusan datuknya berdegil juga membawa neneknya balik ke kampung. Mengeluh panjang Lebai Kidun apabila kenang ayahnya berjalan kaki memapah emaknya tengah uzur. Memang orang tua itu tidak pernah mengalah sekalipun mereka berkeras mahu menghalang. Sekalipun terkilan dengan tindakan ayah nya membawa emaknya berjalan kaki berbatu-batu meranduk kegelapan malam, terpaksa juga Lebai Kidun mengajak anaknya Dolah Ganyut mengekori orang tua itu balik ke kampung halaman. Sewaktu sampai di rumah ayahnya, Lebai Kidun melihat rumah berkenaan terkunci kukuh. Berdebar juga hatinya apabila kenang ayah dan emaknya yang sudah tua tidak sampai lagi ke rumah. Bimbang benar Lebai Kudin disebabkan emaknya tengah uzur terpaksa dipapah oleh ayahnya yang sudah berumur 100 tahun. Apa sangat tenaga orang tua demikian berkeras memapah emaknya yang uzur hingga lemah kaki tatkala berjejak! "Datuk kamu ni keras hati," gerutu Lebai Kudin mengambil keputusan mahu menunggu di situ sehingga ayahnya balik. "Tak sangka pula datuk sanggup buat macam ni," sahut Dolah Ganyut kesal dengan sikap datuknya seolah-olah melarikan nenek-nya tatkala dirawat. "Kita kesihankan nenek kamu tu," tutur Lebai Kidun menahan rasa mendongol di hati. Tentu emaknya mengalami kesejukan sepanjang malam dipapah ayahnya melalui jalan tanah merah di tengah hutan kayu balak. Mahu dijejaki jalan berkenaan belum tentu pula mereka berdua ditemui di situ. "Ah, datuk ni buat kerja sia-sia!" Dolah Ganyut mula tidak sabar mahu tinggalkan sahaja kampung datuknya. Kalau orang tua berkeras biarlah mereka berdua terlantar usah dijengah langsung. Tetapi dia tidak mahu ayahnya tersinggung sekiranya dia mengambil sikap demikian. 'Kalau tak balik petang ni, kita kena cari mereka ikut jalan kayu balak,°' ujar Lebai Kidun bimbang benar dengan keadaan emaknya yang tengah uzur. Lainlah emaknya sihat tentu tidak payah dipapah oleh ayahnya. Tatkala ditanyakan pada Utih Juki jiran ayahnya di simpang jalan masuk ke situ, lelaki itu juga tidak terserempak Aki Dubin di mana-mana. Utih Juki juga menyangka Aki Dubin ikut sama ke rumah cucunya apabila dijemput Lebai Kidun sebelum itu. Hingga santak petang mereka menunggu di rumah Utih Juki, tetapi Aki Dubin tidak juga jejak kaki balik ke rumah. Manalah tahu orang tua berkenaan tidak larat meneruskan perjalanan hingga terpaksa bertangguh di perdu pokok. Tentu emaknya Ngah Saelah tidak mampu lagi dipapah menyebabkan ayahnya terpaksa baringkan biar segar semula. Tetapi Lebai Kidun tahu emaknya sudah lama menderita sakit, masakan boleh segar semula kalau takat berhenti rihat berbaring. Setelah diberitahu mengenai emaknya terkejang sakit dia terpaksa desak Dolah Ganyut bawa ke rumahnya. Setidak-tidaknya boleh dihantar ke hospital. Apabila dibawa ke rumah Dolah Ganyut emaknya berkeras tidak mahu ke hospital. Keadaannya bertambah lemah asal sahaja meracau-racau memanggil suaminya Aki Dubin. Dalam masa Lebai Kidun berkira-kira mahu menjemput ayahnya itulah Aki Dubin terjongol menjengah Ngah Saelah. Sebaik sahaja dia terconggok di sisi Ngah Saelah keadaan isterinya sihat semula hingga berselera mahu menjamah bubur disudukan ke mulutnya.
Показать все...
"Sabarlah dulu Dolah," pujuk Lebai Kidun tidak sampai hati mahu tergesa-gesa balik. Semenjak ayahnya berpindah jauh di kampung terperosok itu memang sukar memujuknya dia supaya tinggal bersama anak cucu. "Kalau maghrib dia tak juga sampai, kita kena beritahu ketua kampung," ujarnya meminta bantuan Utih Juki biar sampaikan perkara ayahnya tidak balik jejak ke rumah kepada ketua kampung. Terpulanglah pada ketua kampung Haji Deramin sama ada mahu lapurkan kepada polis atau pun tidak. Sudah tentu polis akan meranduk jalan kayu balak di tengah hutan sebaik sahaja dilaporkan oleh Haji Deramin mengenai Aki Dubin hilang dalam perjalanan balik ke rumah. Tetapi Aki Dubin bukannya hilang semasa masuk ke hutan mencari rotan atau akar kayu. Dia larikan diri dari rumah cucunya Dolah Ganyut disebabkan mahu membawa balik isterinya ke rumah. Apabila dia tidak balik ke rumah, tentu siapa pun tidak boleh tuduh dia hilang di hutan. Manalah tahu Aki Dubin tidak melalui jalan kayu balak di tengah hutan apabila membawa isterinya Ngah Saelah balik ke rumah. Bersambung... Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
Показать все...
👍 1
#KoleksiTokAwangNgahBab143 LELAKI 44 ISTERI (Bab 143 bahagian 1) BIARLAH berjalan kaki berbatu-batu meranduk lorong tanah merah melalui hutan kayu balak, Aki Dubin tidak peduli apa-apa. Tiga hari dia melalui jalan berbukit-bukit itu sebelum sampai ke kampung di sempadan Pahang. Terkilan benar hati Aki Dubin apabila anak cucu pisahkan dia dengan isterinya Ngah Saelah. Memang dia berkeras tidak benarkan anak cucu membawa isterinya ke rumah mereka tatkala Ngah Saelah terkejang sakit. Tetapi Dolah Ganyut tidak sampai hati membiarkan neneknya tidak siapa menjengah jauh di kampung terperosok. Ngah Saelah mesti dibawa juga ke rumahnya supaya mudah dibawa ke hospital, sekalipun neneknya berkeras tidak mahu dirawat ke hospital. Setidak-tidaknya adik beradik yang lain mudah mahu datang menjengah. Ayahnya Lebai Kidun juga bersetuju orang tua itu dibawa berpindah buat sementara. Siapa akan merawat emaknya Ngah Saelah kalau tinggal berdua sahaja dengan ayahnya Aki Dubin jauh di pinggir hutan. Apa lagi mereka berdua sama-sama uzur hingga masing-masing tidak mampu mahu membantu di antara satu sama lain. Disebabkan Aki Dubin berkeras tidak mahu ikut sama, terpaksa Dolah Ganyut usung juga neneknya masuk ke kereta. Tentu datuknya akan mengalah juga setelah neneknya dibawa ke rumahnya untuk dirawat. Tetapi dua hari di rumah cucunya keadaan Ngah Saelah semakin lemah. Dia tidak boleh lelapkan mata sepanjang malam hingga meracau-racau kenangkan suaminya makan tidak diuruskan sesiapa. Terpaksa Lebai Kidun jemput juga ayahnya supaya jengah emaknya. Memang Aki Dubin sudah beritahu Lebai Kidun dia tidak akan jengah Ngah Saelah sekiranya anak cucu berkeras juga membawa keluar dari rumahnya. Sebab itu Lebai Kidun akan pujuk ayahnya supaya mematuhi kemahuan anak cucu demi kesihatan emaknya yang semakin uzur. Tatkala Lebai Kidun bersama Dolah Ganyut sampai di halaman rumah, Aki Dubin tidak ada di situ. Rumahnya terkunci rapat menunjukkan dia sudah tinggalkan rumahnya. Siapa pun tidak tahu ke mana Aki Dubin menghilangkan diri disebabkan rumah jiran-jiran terletak jauh dari situ. Sewaktu balik semula ke rumah Dolah Ganyut, mereka terkejut apabila mendapati Aki Dubin sudah terconggok di situ. Memang Aki Dubin mengakui dia berjalan kaki sampai tiga hari setelah menyedari isterinya tidak boleh lelapkan mata sepanjang dua malam di rumah Dolah Ganyut. "Aku tahu emak kamu dua malam tak dapat lelapkan mata," ujar Aki Dubin meneguk air telaga yang disediakan dalam botolnya. Dia lebih selesa meneguk air telaga daripada air paip di pekan kecil tempat isterinya dibawa ke rumah Dolah Ganyut. "Sebab itu kami mahu ayah di sini juga," Lebai Kidun memujuk ayahnya supaya menerima desakan anak cucu. "Aku lebih selesa di rumah aku!" tegas Aki Dubin berkeras mahu membawa isterinya Ngah Saelah balik ke kampung halamannya yang terperosok di Jerantut. "Buat sementara aje nenek di sini," sahut Dolah Ganyut ingatkan datuknya. "Kalau nenek dah sihat bolehlah balik," ujarnya memberi jaminan akan menuruti kemahuan orang tua itu. "Di sini, nenek kamu tak akan sihat," Aki Dubin percaya suasana di pekan tidak akan memulihkan kesihatan isterinya. Tetapi Lebai Kidun tetap tidak benarkan ayahnya membawa emaknya balik ke kampung yang jauh terperosok. Bukan sahaja anak cucu sukar mahu menjengah, tetapi kedua ibu bapanya tinggal terpencil dari jiran-jiran. Siapa akan membantu kalau mengalami uzur tatkala tengah malam disebabkan umur ayahnya sudah hampir 100 tahun. Dalam usia demikian tentu ayahnya tidak mampu membantu emaknya. Apalah salahnya mereka tinggal di rumah Dolah Ganyut sehingga emaknya sihat betul. Siapa pun tidak melarang emaknya balik semula ke kampung halaman apabila sudah sihat semula. Kecewa benar Aki Dubin apabila Lebai Kidun tidak benarkan emaknya dibawa balik ke kampung, sekalipun Ngah Saelah mengakui tidak selesa di rumah Dolah Ganyut.
Показать все...
#KoleksiTokAwangNgahBab142 BERATUS-RATUS ULAR MERAYAP DI TUBUH (Bab 142 bahagian 2) Ulung Kitam dengar sendiri anak saudaranya Derih Gagap mengendap di dalam belukar sewaktu Andak Ludin mahu menebang pokok sagu. Sengaja Andak Ludin menunggu senja samar-sama baru dia ke hujung sawah memikul kapak. Sekali hayun sahaja ke perdu pokok sagu sekaligus tumbang tidak bersisa. Kemudian Derih Gagap nampak Andak Ludin melangkah pokok sagu yang sudah ditebang itu tiga kali. Sambil melinga-lingas ke kiri dan ke kanan untuk memastikan tidak ada orang melihatnya, lantas Andak Ludin memikul pokok sagu sebatang tegak itu di bahunya dengan daun-daunnya sekali. Tatkala berselisih di jalan sengaja Derih Gagap menegurnya, tetapi Andak Ludin sekadar mengangguk kepala sahaja dengan tIdak bercakap sepatah pun. Apabila pokok sagu dihempaskan ke tengah halaman, segera Ulung Kitam menjengah melalui tingkap. Dia melihat pokok sagu sebatang tegak dilimparkan ke tengah halaman, tetapi dia tidak melihat siapa pun di situ. Tidak lama selepas itu baru Andak Ludin naik ke rumah dengan berkain basahan selesai mandi di telaga. "Kamu dah tahu aku tak bertuan, kenapa tak ambil?" merungut-rungut Leha sampaikan suaranya garau bagaikan tenggelam di kerengkung. "Kalau dah tahu tak bertuan, berambuslah ke dalam hutan!" segera Aki Amid membentak seolah-olah memberi amaran. "Tapi, Andak Ludin dah berjanji," tersipu-sipu Leha menunduk tidak berani menatap muka Aki Amid. "Ah, siapa nak berjanji dengan hantu," sengaja Aki Amid mengejeknya bagaikan mahu menyakiti hati musuh. "Andak Ludin berjanji suruh ikut siapa aje keluarganya," lantas Leha memintas sebelum sempat Aki Amid meneruskan cakapnya. "Selagi aku ada, jangan cuba nak mengaruk kampung ni!" jerkah Aki Amid tidak mahu lagi melayani syaitan yang merasuk dalam diri Leha. Dia segera membacakan tiga kali surah al-lkhlas diikuti dengan 17 kali Ayatul Kursi. Kemudian dia meneruskan membaca doa: Huwallahhul lazi la-ilaha illa huwa 'alimul ghaibi wasyhadati huwarrahmannur rahim, huwal-lahhul lazi la-ilaha illa huwal-malikul quddus sussalamul mukminul muhaiminul 'azizul jabbarul mutakabbiru subhanal-lahhi 'amma yusyrikun, huwal-lahhul kholiqul bari-ul musauwi-rulahul asma-ul husna, yusibbihu lahu mafissamawati walardhi wahuwal 'azizulhakim. Apabila dia menampar dua tapak tangan sekuat hati, tiba-tiba Leha terkejut hingga jatuh menggelepar di lantai. Mulutnya berbuih-buih sambil mendengus-dengus laksana kerbau disembelih leher. Lama juga Aki Amid membacakan berbagai-bagai doa sebelum Leha dapat dipulihkan. Sebab itu tahu sangat Uda Lajis syaitan yang merasuk sesiapa sahaja pintar mengelirukan, dengan menuduh orang lain menyuruhnya datang merasuk. Selagi Kamariah tidak tahu perbuatan siapa menyebabkan duit di dalam dompet hilang, dia tidak boleh menuduh sama ada kerja toyol atau amalan syaitan yang lain. Kalau diganggu syaitan Kamariah wajib memohon perlindungan dari Allah semata- mata. Apalah salahnya meminta bantuan Ucu Bahali doakan sekiranya diri sendiri tidak tahu bagaimana tertib berdoa itu. Sebab itu Uda Lajis sanggup temukan Kamariah suami isteri dengan Ucu Bahali sekalipun terpaksa meranduk jalan kecil ke Felda. Ketika dibawa menemui Ucu Bahali selepas asar, memang dia menyuruh Kamariah suami isteri datang semula selepas isya. Tidak pernah Ucu Bahali memulakan perubatan di siang hari. Sengaja dia memilih malam biar dapat khusuk berzikir di tengah kesamaran lampu. Disebabkan sudah berjanji untuk membawa Kamariah suami isteri menemui Ucu Bahali itulah, Uda Lajis bergegas-gegas balik. Bimbang juga dia sekiranya mungkir janji. Manalah tahu tersinggung pula Kamariah kalau dia terlupa hingga tidak jadi mahu ke Felda menemui Ucu Bahali. Memang Ucu Bahali lakukan sama seperti diamalkan oleh arwah ayahnya Aki Amid, apabila mula membakar setanggi sebaik sahaja Safar suami isteri naik ke rumah. Dia sengaja memadamkan lampu di tengah ruang rumah dengan membiarkan lampu di tangga sahaja terpasang terang benderang.
Показать все...
Lembaga bertubuh besar itu termengah-mengah berguling di bumi disebabkan api yang keluar dari mulutnya menyambar semula diri sendiri. Setelah api itu padam, dia terkial-kial bangun lantas memanggil semua ular-ular yang bertempiaran menyusup ke bawah rumput tengah belukar. Tetapi tidak seekor pun ular-ular bisa berkenaan mahu keluar semula membantu lembaga bertubuh besar itu. Tidak bertangguh pula Ucu Bahali menyambar menangkap kepala burung jampuk yang cuba terbang melarikan diri. Sebaik sahaja dia menggenggam kepala burung jampuk berkenaan terasa pada Ucu Bahali kepak burung itu memukul ke kiri ke kanan dengan kuku kaki cuba mencakar. "Kalau kau ganggu lagi rumah Safar, aku campak kau ke laut dalam!" dia memberi amaran dengan menggenggam erat-erat kepala burung jampuk itu. Menggelepar burung jampuk itu mahu melepaskan diri dari cengkaman tangan Ucu Bahali. Setiap kali dia menggelepar tubuhnya semakin tercerut bagaikan dibelit ular yang memintal-mintal seluruh kepaknya. "Kamu gunakan syaitan, aku gunakan tentera jin Islam!" keras suara Ucu Bahali membentak kemudian terus membacakan: Bismillahhi wallahhu ghalibun 'ali amri, dengan diulangi sampai 100 kali. Burung jampuk dalam genggamannya menjadi lembik tidak bermaya sekali pun nafasnya tercangut-cangut masih mahu bingkas bangun. Serentak dengan itu Ucu Bahali mencampakkan burung jampuk berkenaan ke arah lembaga bertubuh besar itu sampai tertampan ke dada lembaga berkenaan. "Ingat, jangan cuba ganggu lagi rumah Safar!" Ucu Bahali mengingatkan sambil menudingkan jari ke muka lembaga bertubuh besar itu. Sebaik sahaja dicampakkan burung jampuk itu melompat naik semula bertenggek ke atas bahu lembaga bertubuh besar itu dalam keadaan moyok. Matanya yang menyala seperti api bertukar menjadi hitam laksana puntung arang. Ketika ini lembaga bertubuh besar itu melingas-lingas mata mencari ratusan ular-ular bisa yang bercempera lari menyusup ke bawah rumput memanjang. Kemudian dia menepuk tangan tiga kali seolah-olah memanggil semua ular-ular bisa itu datang semula membantu. Apabila ular-ular bisa itu mengangkat kepala tinggi dari celah-celah rumput di keliling rumah cepat sahaja kepalanya disambar oleh beratus-ratus lembaga seperti asap hitam yang mengepung kawasan rumah. Terkebil-kebil mata lembaga bertubuh besar itu apabila melihat terlalu banyak lembaga seperti asap hitam mengepungnya. Di mana-mana sahaja lembaga seperti asap hitam tercegat dengan memegang panah api, gada berduri dan rantai besi. Mereka semuanya mematuhi apa sahaja perintah Ucu Bahali. Ular-ular bisa yang ditangkapnya lantas dihempas ke bumi hingga kepala berkecai seperti agar-agar dilimparkan. "Tentera jin Islam semua, lepaskan panah berapi!" mereka yang terconggok di tengah rumah mendengar Ucu Bahali memberi perintah sambil melenggok-lenggok badan di tengah ke-samaran lampu. Memang Safar tidak melihat siapa pun yang dilawan bercakap oleh Ucu Bahali. Kamariah juga terdiam dengan nafas kencang setiap kali Ucu Bahali memberi perintah disebabkan suaranya bertukar menjadi garau hingga bergaung sampai ke udara. Tetapi Uda Lajis tidak peduli sangat apa pun keadaan Ucu Bahali ketika ini. Tahu sangat dia cara yang dilakukan oleh Ucu Bahali memang sama seperti arwah ayahnya Aki Amid. Kalau sudah perbuatan syaitan melampaui batasan, maka arwah ayahnya menggunakan syaitan juga untuk memerangi syaitan. Arwah ayahnya tetap yakin golongan syaitan boleh digunakan memerangi golongan syaitan yang lain, asal sahaja dirnya tidak terjebak. Aki Amid kerap-kali mengingatkan Uda Lajis bahawa ilmu manusia tidak ada batasan, tetapi ilmu syaitan terhad. Tahu sangat Uda Lajis apa-bila arwah ayahnya ingatkan peristiwa Nabi Allah Sulaiman memerintahkan Jin Afrit membawakan istana Puteri Balqis, jin itu berjanji untuk menerbangkan istana berkenaan dalam masa sebelum Nabi AIIah Sulaiman sempat bangun dari duduknya. Tetapi Abi Saif ibnu Berahyar menterinya dari kalangan manusia biasa sanggup membawa istana berkenaan lebih cepat lagi yakni sebelum sempat mata Nabi Allah Sulaiman berkedip.
Показать все...
Setelah beristighfar sampai 100 kali dengan memegang erat buah tasbih, Safar ikut sama membacakan al-Fatihah apabila Ucu Bahali membacakan sampai 41 kali. Apabila Ucu Bahali mula beratib melenggok-lenggokkan badan, di luar terdengar angin bertiup sepoi-sepoi memukul daun pokok-pokok kayu. Uda Lajis hanya memerhatikan sahaja dari jauh dengan mengukuhkan sandar belakang ke dinding. Ketika ini dia mendengar Ucu Bahali menyaringkan suaranya berzikir hingga 500 kali menyebut: Ya haiyun ya gaiyum ya latiff ya zaljalal wal-ikram. Habis sahaja Ucu Bahali mengira buah tasbih di tangan, dia segera mendongak. Tiba-tiba dia menggertap bibir apabila melihat bayang-bayang kawasan rumah Safar di kelilingi lembaga besar dengan berpuluh-puluh ular bisa merayap di seluruh badannya. Di bahu lembaga itu Ucu Bahali seakan-akan nampak seekor burung jampuk bertenggek dengan matanya merah bernyala laksana api membawa. Sebaik sahaja lembaga itu melihat Ucu Bahali tercegat, tidak bertangguh dia memerintahkan beratus-ratus ekor ular bisa menerkam ke arah Ucu Bahali. Berterbangan ular-ular bisa itu menerkam ke arah Ucu Bahali. Tidak sempat pun sampai ke sasaran semua ular-ular bisa berkenaan tercampak ke bumi dengan tubuh remuk bagaikan pecah meletup. Menggeleng-geleng kepala lembaga besar itu sambil menggertap bibir menahan marah. "Wah, gunakan hantu raya dengan jembalang tanah!" jerkah Ucu Bahali mencebek bibir, seolah-olah mengejek. Tetapi Safar melihat dia sekadar merungut-rungut seorang diri di dalam kesamaran cahaya lampu di tengah rumah. Hantu raya boleh curi duit ke?" Uda Lajis sengaja menduga. "Memang hantu raya boleh masuk ke rumah," beritahu Ucu Bahali masih merenung tajam ke arah Iembaga besar di depannya. "Jembalang tanah hanya di keliling rumah sahaja, dia tidak boleh masuk!" tegasnya tidak lepas memandang beratus-ratus ekor ular bisa merayap di tubuh lembaga besar berkenaan. Lembaga besar itu juga terlalu marah apabila Ucu Bahali menggempurnya keras. Dia tidak peduli sama ada Ucu Bahali sengaja mahu mencari musuh atau tidak, lembaga besar itu tetap melawan. Tentulah hina benar dia kalau menyerah kalah tidak bersebab. Tetapi Ucu Bahali dapat mengagak memang hantu raya digunakan membuka jalan untuk menyusup masuk ke rumah Safar. Setelah hantu raya dapat menyusup masuk itulah toyol dilepaskan untuk mengambil duit di mana sahaja disorokkan. Setiap kali Safar cuba bertahan, jembalang tanah sudah bersedia di keliling rumah menghalang segala amalan melawan gangguan berkenaan. Safar sekadar berdoa dengan tidak mengetahui bagaimana gangguan syaitan itu merasuk. Sampai bila pun dia tidak akan dapat mengalahkan selagi tidak dicari punca. Setiap kali berdoa Safar hanya boleh bertahan untuk beberapa ketika sahaja. Selepas itu gangguan berkenaan akan merasuk lagi berterusan. "Kenapa tak cari rumah orang kaya?" ujar Uda Lajis kesal dengan gangguan tersebut. "Ini bukan fasal nak cari duit," sahut Ucu Bahali bagaikan memberitahu apa yang dilihatnya ketika itu sekalipun mereka yang terconggok di tengah rumahnya tidak melihat apa-apa. "Orang ni sengaja sakit hati pada Safar," katanya lantas mengisar tapak tangan. Memang Ucu Bahali nampak lembaga besar itu menghembuskan api menyala apabila bernafas. Api berkenaan seolah-olah mahu menyambar Ucu Bahali, tetapi dia segera membacakan: Wala tad'u ma'allahhi ilahan akhora la-ilaha illa huwa kullu syai-in halikun illa wajhahu lahulhukmu wa-ilaihi turja'un. Sekaligus api yang menyala itu berpatah balik menyambar lembaga bertubuh besar itu menyebabkan dia berguling ke tanah mahu menyelamatkan diri. Beratus-ratus ekor ular yang merayap di tubuhnya juga bertempiaran lari menyusup ke tengah belukar mencari perlindungan. "Kau nak lepaskan burung jampuk tu mencuri duit Safar?" jerkah Ucu Bahali menggertap bibir. "Mata burung jampuk tu macam api, muncung tajam besi, itu yang kau gunakan selama ni!" semakin keras dia membentak melepaskan geram.
Показать все...
"Ilmu manusia tidak ada batasan," Uda Lajis sentiasa ingatkan pesanan ayahnya supaya tidak mudah mengalah setiap kali menghadapi musibah syaitan. Dia dapat mengagak tentu Ucu Bahali menggunakan kaedah yang sama dengan arwah ayahnya apabila menghadapi gangguan syaitan ke atas diri Safar suami isteri. Tentulah tidak termasuk akal bagaimana duit di dalam dompet boleh dicuri sekalipun dijahit dengan benang. Siapa yang mahu lakukan menggetas benang tersimpul semata-mata untuk mencuri sebahagian duit di dalam dompet? Kalau manusia biasa tentulah semua wang di dalam dompet dicuri habis. Syaitan tidak akan mencuri sampai habis tidak bersisa, kerana kemampuannya tidak sama dengan manusia. Memang syaitan sengaja mahu menimbulkan kegelisahan dalam hati Safar, biar terus merasa tidak tenteram sepanjang masa. Macam mana mahu dirikan solat dengan khusuk kalau hati sudah tidak tenteram akibat diganggu demikian? Sekalipun duit yang hilang tidak seberapa, tetapi kemarahan akibat hilang duit itu tidak dapat dibendung. Memang gurunya sentiasa ingatkan supaya bersabar menghadapi dugaan demikian, tetapi Safar tahu had sabar juga ada batasannya. "Semua jin Islam, serang serentak!" mereka mendengar Ucu Bahali memberi arahan. Tetapi mereka tidak melihat siapa pun di situ yang mendengar perintah Ucu Bahali. Tetapi Uda Lajis tahu Ucu Bahali tidak duduk terconggok di tengah kesamaran lampu ketika itu. Dia dikelilingi beratus-ratus jin Islam mengepung rumah Safar jauh di Kuala Lumpur. Sebaik sahaja Ucu Bahali memberi perintah, serentak dengan itu lembaga seperti asap hitam melepaskan panah berapi ke arah lembaga bertubuh besar. Terpinga-pinga lembaga bertubuh besar itu tidak dapat mengelak panah api yang berterbangan menyinggahi dirinya. Dia cuba bertahan mencari perisai untuk berlindung, tetapi lembaga seperti asap hitam datang dari segenap penjuru. Ke mana sahaja dia mahu mencari tempat berlindung panah berapi terus merejam ke arahnya. "Ingat! jangan ganggu lagi rumah Safar!" Ucu Bahali menuding jari ke arah muka lembaga bertubuh besar itu. Lembaga bertubuh besar itu menggeleng-geleng kepala lantas menunjukkan ke arah pondok di lereng bukit. Ucu Bahali melihat seorang lelaki tua bersila rapat di tengah pondok dengan menunduk kepala. Di hadapannya satu dulang ramuan ubat-ubatan dengan asap kemenyan memenuhi ruang. Di dalam dulang itu terdapat jantung pisang yang ditebuk dengan disumbatkan telur siap ditusuk tujuh batang jarum. Jantung pisang itu dibungkus dengan kain putih laksana orang mati dikapankan. "Oh, kamu nak gunakan ilmu syaitan untuk aniaya orang!" bentak Ucu Bahali memberi isyarat kepada lembaga seperti asap hitam menyerbu. Tidak bertangguh semua lembaga itu mengangkat dulang berkenaan dilingkupkan sampai habis terbalik. Apabila lelaki tua itu termangu dengan kejadian berkenaan, segera diheret oleh semua lembaga seperti asap hitam ke tengah halaman berdepan dengan lembaga bertubuh besar. Sebaik sahaja mereka berdepan, terus sahaja diterkam lelaki tua itu oleh lembaga bertubuh besar bagaikan melepaskan geram. "Pasang lampu semula," Ucu Bahali memberi isyarat kepada isterinya supaya memasang lampu. Sebaik sahaja lampu terpasang, segera Kamariah mendesak mahu tahu apa sebenarnya berlaku selama ini. Tetapi Ucu Bahali tersengih-sengih sahaja. Dia tidak memberitahu apa-apa sekadar ingatkan Kamariah suami isteri tidak perlu bimbang apa-apa. Ketika berkunjung ke rumah Safar di Kuala Lumpur sengaja Ucu Bahali mengajak saya disebabkan Uda Lajis beriya-iya sangat mempelawa setelah singgah di rumah saya. Ucu Bahali juga sudah lama tidak bertemu saya semenjak dia berpindah masuk ke Felda. Terkejut juga Safar apabila melihat saya datang bersama Ucu Bahali dan Uda Lajis. Memang saya mengenali Safar disebabkan dia sepupu Kadir Misai kawan baik saya. Disebabkan saya sama-sama datang, lantas sahaja Ucu Bahali mengajak solat hajat bersama. Gembira benar Safar kerana tidak ada lagi gangguan duit hilang dalam dompet semenjak balik dari rumah Ucu Bahali. Tamat bab 142. Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
Показать все...
👍 1
#KoleksiTokAwangNgahBab142 BERATUS-RATUS ULAR MERAYAP DI TUBUH (Bab 142 bahagian 1) HAIRAN benar kejadian yang berlaku di rumahnya sejak berbulan-bulan apabila wang dalam dompet hilang sekalipun dijahit dengan benang. Asal sahaja kumbang atau rama-rama terbang ke tengah rumah, cam benar dia tentu duit dalam dompet akan hilang. Memang Safar tidak percaya sangat apabila isterinya Kamariah menuduh perbuatan toyol menceroboh. Mencebek bibir Safar mengejek isterinya kalau sebut mengenai toyol mencuri duit di dalam dompet. Masakan setelah ramai orang berpendidikan tinggi masih percayakan toyol boleh dijadikan suruhan untuk mencuri duit. Tetapi Kamariah syak tentu toyol yang lakukan. Bersusah payah dia beli ikan puyu dipelihara dalam akuarium biar toyol leka bermain. Ingat sangat Kamariah pesanan orang tua-tua sekiranya toyol masuk menceroboh pelihara sahaja ikan puyu. Tentu toyol akan leka bermain ikan puyu hingga santak subuh sampai dia tidak sempat mencuri duit di dalam dompet. Lantas sahaja Safar mengejek apabila isterinya memelihara ikan puyu di dalam akuarium. Pelihara pun ikan puyu duit di dalam dompet hilang juga. Bukan takat sebelah malam sahaja, malah siang hari duit yang baru dikeluarkan dari bank pun hilang. "Awak tak percaya cakap saya, memang kerja toyol!" gerutu Kamariah menyindir suaminya setelah duit yang disemat dengan pin di dalam dompet pun hilang. Safar tidak peduli sekalipun isterinva berkeras menuduh perbuatan toyol. Perkara toyol sama juga perbuatan ilmu syaitan yang merosakkan iman manusia. Sebab itu Safar sanggup bersengkang mata sampai santak tengah malam lakukan solat sunat tahajud biar toyol tidak dapat mengganggu. Setiap kali bangun tengah malam dia akan bacakan Ayatul Kursi hingga 313 kali. Asal sahaja dia tidak bangun lakukan solat sunat tahajud, duit dalam dompetnya akan hilang juga. Kalau tidak kenangkan amanat gurunya supaya banyak bersabar, memang mahu juga Safar memekik sekuat hati melepaskan rasa yang mendongkol di dalam hati. "Cubalah dengan Ucu Bahali," ujar Uda Lajis sebaik sahaja diberitahu oleh Kamariah tatkala mereka suami isteri balik ke kampung. "Safar ni bukan dia nak percaya!" mendengus Kamariah lantas mengerling suaminya. "Ini bukan perkara percaya atau tak percaya," sahut Safar tersinggung dengan ejekan isterinya itu. "Tapi, betulkah perbuatan toyol atau tuduh-tuduh aje?" dia mencebek bibir macam mengingatkan Kamariah. "Buat apa berbalah-balah, cuba tengok dulu dengan Ucu Bahali," tegas Uda Lajis tersengih-sengih. Apalah gunanya mereka berbalah-balah kalau menyedari gangguan syaitan demikian. Lebih baik dicari puncanya biar gangguan itu boleh dihindarkan. Melawan syaitan bukannya sama berhadapan dengan orang yang terconggok di hadapan mata. Bila-bila boleh dibentak sekiranya berdegil tidak mahu mengalah. Gangguan syaitan hanya menyusup dalam sanubari yang perlu dikawal dengan penuh kesabaran. Kalau tidak dapat mengawal kesabaran tentulah berbalah-balah sesama sendiri, hingga syaitan dapat merasuk ke dalam diri. Apa sangat dengan wang di dalam dompet hilang, kalau bandingkan rumah tangga pecah akibat berbalah-balah tidak dapat menahan sabar? Sebab itu Uda Lajis ingatkan mereka supaya tidak berbalah-balah. Kalau bukan perbuatan syaitan boleh mencuri wang di dalam dompet dengan tidak dapat dilihat, kerja siapa lagi? Sekiranya pencuri yang menyusup masuk ke dalam rumah, kenapa dia mengambil sebahagian sahaja wang di dalam dompet? Memang Safar juga percaya perbuatan syaitan mahu menguji kesabarannya. Tetapi dia tidak mahu menuduh perbuatan toyol, kerana dia sendiri tidak melihatnya. Hanya cerita dari mulut ke mulut sahaja toyol menyusup masuk menyerupai anak kecil berbogel lantas mencuri duit di dalam dompet. Mereka percaya kalau ditaburkan kacang hijau nescaya toyol akan bermain dengan kacang hijau berkenaan. Sekiranya diikatkan duit pada uncang tepung, toyol akan mengheret uncang berkenaan hingga sampai ke rumah tuan yang memeliharanya. Ketika ini mereka boleh mengesan siapa tuan yang amalkan memelihara toyol untuk mencuri duit jiran-jiran?
Показать все...
👍 1
"Kenapa ni Kak Kitam?" Aki Amid sempat berdiri di tengah-tengah menghalang dua orang perempuan itu bergomol. "Kak Nyipah juga kenapa nak tunjuk garang? Tak malu pada anak cucu ke?" katanya keras bercekak pinggang menampankan dada. "Aku ni simpan pelesit, aku ni jahat!" gerutu Alang Nyipah cuba menolak Aki Amid. Tetapi dia merasa tubuh Aki Amid tidak berganjak sedikit pun bagaikan pokok tersergam di hadapannya. "Siapa cakap?" Aki Amid terus memujuk sepupu isterinya itu supaya tidak menunjuk garang berlebihan. "Aku cakap! Tengok anak Mansur dirasuk pelesit!" sahut Ulung Kitam menumbuk-numbuk belakang Aki Amid. Setiap kali tangannya singgah kebelakang Aki Amid, dia terasa sakit seolah-olah menumbuk tembok batu keras tergendeng. "Leha tak dirasuk pelesit, mak!" Mansur pula memujuk emak mertuanya biar bertenang dahulu. "Dah ramai orang kampung ni kena pelesit Nyipah!" Ulung Kitam mula mengendur akibat penumbuknya sakit disebabkan singgah ke belakang Aki Amid bagaikan tertampan ke tembok batu. "Syaitan memang suka tengok kita berkelahi," beritahu Aki Amid mengingatkan dua orang perempuan yang mempunyai hubungan keluarga dengan isterinya. "Aku mesti ajar Nyipah ni!" tegas Ulung Kitam tidak mahu mengalah sekalipun Alang Nyipah sudah berundur dipapah oleh Mansur. "Hah, kalau Kak Kitam berdegil, kelahi sangatlah," sengaja Aki Amid keraskan suara disebabkan Ulung Kitam masih mahu menerkam Alang Nyipah. Sebaik sahaja Aki Amid memberi ruang, tidak bertangguh Ulung Kitam meluru ke hadapan. Alang Nyipah juga berpaling mahu mempertahankan diri sambil meronta-ronta dari pegangan Mansur. Belum pun sempat mereka bercekak, tiba-tiba sahaja Ulung Kitam terkaku seolah-olah kakinya terpasak ke tanah. Alang Nyipah juga tidak bertenaga mahu melepaskan diri daripada pegangan Mansur. "Teruskanlah, tunggu apa lagi?" lantas Aki Amid mengejek setelah Ulung Kitam terkaku tidak dapat menyerbu ke hadapan. "Kau ikat badan aku, Amid?" termengah-mengah Ulung Kitam terlalu marah disebabkan petua yang dikenakan oleh Aki Amid. Tahu benar dia mengenai Aki Amid yang amalkan petua hingga menyebabkan langkahnya kaku macam kaki terpasak ke bumi. "Bukankah Kak Kitam nak berkelahi sangat?" semakin galak Aki Amid mengejak perempuan itu yang termengah-mengah mahu melepaskan diri. Kemudian dia menyuruh Mansur memapah Alang Nyipah naik ke rumah. Setelah dipujuk oleh Mansur lantas sahaja Alang Nyipah mematuhi kemahuan lelaki berkenaan. Dia sendiri bukanlah mahu sangat berkelahi tunjukkan garang tidak bertempat. Kalaulah Ulung Kitam tidak celupar mulut memaki hamunnya, dia juga tidak akan terjun ke tanah mahu bergomol tengah halaman. Malu juga dia kalau dilihat anak cucu, orang tua sepertinya bergomol tunjukkan gagah. Sedangkan uban di kepala juga sudah memutih macam bunga lalang tengah galak, tentulah akan ditertawakan oleh anak cucu semua. Tetapi Ulung Kitam yang berkeras mahu memuntal rambutnya melepaskan geram. Sampai mati pun Ulung Kitam tidak percaya kalau dia berdalih tidak tahu menahu mengenai pelesit yang merasuk Leha. Ulung Kitam tetap menuduhnya sengaja mahu berselindung sekiranya dia terus bertahan tidak mahu terjun ke tengah halaman bergomol. Setelah dipulihkan semula oleh Aki Amid barulah Ulung Kitam meyedari kemarahan yang memuncak di dalam hatinya disebabkan dirasuk oleh gangguan juga. Ketika Aki Amid diminta oleh Mansur mengubati anaknya Leha, bingkas sahaja gadis kecil itu bangun mahu menyepak Aki Amid. Sebaik sahaja dia cuba melompat, segera Aki Amid menekan ibu jari kakinya ke lantai dengan membacakan: Alif lam mim sad, kaf ha ya a'in sad, ha mim a'in sim kaf, innama ilahukummullahhul lazi la-ilaha illa huWa, wasi'a kulla syai-in 'ilman. Sekaligus Leha tergolek semula jatuh dengan menggeliat-geliat terketar kesakitan. Ketika dia mengangkat kepala Leha merenung repat ke muka neneknya Ulung Kitam. Pandangannya tajam seolah-olah menyimpan dendam yang lama terpendam. "Dah kau suruh aku ke mari, kau biarkan Aki Amid ni nak bunuh aku!" Leha menggertap bibir lantas menuding jari ke arah Ulung Kitam.
Показать все...
Выберите другой тариф

Ваш текущий тарифный план позволяет посмотреть аналитику только 5 каналов. Чтобы получить больше, выберите другой план.