[Perutusan Tahun Baharu 2024 Presiden ABIM]
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah swt, satu lagi fasa baru bakal bermula setelah kita melangkah ke gerbang tahun 2024.
Pengakhiran 2023 pastinya akan mengingatkan kita semua kepada peristiwa hitam yang menimpa umat Islam di Gaza, Palestin dengan terbunuhnya massa yang tak terhitung banyaknya.
Genosid yang berlaku terang-terangan yang berlanjutan sehingga kini selain kejadian banjir besar termasuk “climate emergency” yang berlaku di beberapa buah negeri dan negara luar.
Tahun 2024 antara lain mengindikasikan bahawa kita menghampiri penghujung pasca kejatuhan Khilafah Islamiyyah setelah 100 tahun (1924). Dalam kesempatan ini mari kita renung kepada hadis Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah SWT mengutuskan untuk umat ini setiap seratus tahun orang-orang yang akan memperbaharui agama ini (daripada segala penyimpangan)"
Riwayat Abu Daud (3740)
Kepimpinan ABIM kini dalam kerangka untuk melihat keperluan semasa umat yang memerlukan keberadaan gerakan ini bersama agensi, produk dan program yang ditawarkan terus relevan di lapangan. Sayugia diingatkan agar landasan dan kompas ABIM perlu sentiasa berada dalam kerangka kesederhanaan serta tidak terjebak ke dalam kancah ekstremisme dan elemen radikalisasi.
Dalam senario ini, agenda menyantuni daerah sehingga ke pelosok negeri dengan mengaktifkan relawan dan aktivis ABIM menjadi keutamaan. Agenda ‘followership’ dan ‘leadership’ ini dimulakan daripada pembinaan kapasiti peribadi dengan tumpuan penekanan tarbiyyah termasuk latihan keorganisasian yang bermodul dan bersasar.
Selain itu, gerak kerja mendampingi anak muda profesional juga menjadi prioriti kepada ABIM dengan menyikapi kepelbagaian dan kecenderungan kelompok terbesar aset negara ini.
Tidak dilupakan agenda pembinaan Bangsa Malaysia menjadi titik penting dalam untuk naratif
kepelbagaian dalam bingkai kesatuan dalam latar belakang masyarakat majmuk Malaysia yang kosmopolitan dan bersifat sejagat.
Kendatipun, pengharapan teman-teman seantero dunia yang mengharapkan ABIM terus berperan serta dalam menggerakkan agenda global ummatik akan terus digiatkan. Hal ini memerlukan warga ABIM untuk berperanan untuk sama-sama memimpin nadi masyarakat antarabangsa, menghadapi kerencaman dunia yang serba tidak menentu kini.
Halatuju Malaysia MADANI akan menjadi fokal kepada penganjuran program alamiyyah bertunjangkan kekuatan Malaysia sebagai rujukan dengan mengambilkira cabaran pasca normal.
Elemen ‘advocacy’, ‘diplomacy’, ‘courtesy’ dan ‘humanity’ (ADCH) akan menjadi teras kepada gerak kerja ke hadapan agar dampak langsung berpusat kepada kelompok yang tertindas dan sering dilupakan.
Advokasi serta tekanan masyarakat antarabangsa perlu dipertingkatkan bagi memerangi keganasan serta jenayah kemanusiaan yang dilakukan bukan sahaja di Palestin namun demikian jangan dilupakan mereka yang berada di Syria, Uyghur, Rohingya, Kashmir serta beberapa tempat lain di seluruh dunia.
Umat Islam perlu sedar dan mengambil iktibar keberkesanan advokasi isu Palestin yang semakin meluas dalam kalangan masyarakat antarabangsa.
Cabaran-cabaran ini perlu disikapi secara positif dan proaktif dengan prasyarat keimanan dan ketakwaaan kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad S.A.W yang akan memungkinkan kemenangan kepada kita semua sepertimana seruan yang digariskan dalam Surah Al-Anfal ayat ke-20 “Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berpaling dari padanya, sedang kamu mendengar (perintah-perintah-Nya)”
Insya'Allah harapan dan kemenangan akan terjelma dari segala usaha dan doa kita bersama!
Selamat Tahun Baru 2024!
*Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin*
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)