OPERASI MEMBAWA PULANG 40 PELAJAR, PENSYARAH UUM TERKANDAS DI HATYAI, THAILAND
Berikut merupakan perkembangan terkini pada 27 November 2025 yang melibatkan 36 pelajar dan empat pensyarah pengiring dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) yang terkandas berikutan banjir di Hatyai, Thailand.
Seperti makluman, kesemua mangsa berada di Hatyai bagi mengikuti Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 selama tiga hari bermula 20 hingga 22 November 2025 dan bukan bercuti seperti dakwaan benerapa pihak di media sosial.
Mengikut jadual, kumpulan pelajar dan pensyarah terlibat sepatutnya pulang ke Sintok pada 22 November, namun akibat hujan lebat menyebabkan mereka terkandas di Wangburapa Grand Hotel (penginapan pelajar).
Pada jam 1 tengah hari tadi (waktu tempatan), 40 pelajar dan staf UUM berjaya dikeluarkan dari hotel dan tiba di Central Hatyai sebelum bergerak menuju ke Bukit Kayu Hitam menaiki bas Prince of Songkhla University (PSU).
PSU merupakan rakan strategik UUM yang saling bantu membantu.
Ketibaan mereka disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM merangkap Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Menurut Dr. Ahmad Martadha, operasi membawa pulang bukanlah semudah yang disangka kerana membabitkan negara berbeza.
“Hotel Wangburapa Grand sangat berdekatan dengan sungai menyebabkan arus air terlalu deras, selain ketinggian paras air mencecah 10 kaki.
“Alhamdulillah, mereka berjaya juga dibawa pulang hasil doa seluruh rakyat Malaysia dan dibantu juga Kementerian Pendidikan Tinggi, Wisma Putra, konsulat dan NGO,” katanya.
Pengarah Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan (PKKU) UUM, Dr. Adi Azhar Abdul Razak yang turut menunggu ketibaan para pelajar di Bukit Kayu Hitam turut menyediakan bekalan ubat-ubatan serta pengurusan TISSA-UUM menyediakan bekalan makanan, termasuk KFC.
Pihak UUM sebelum itu dimaklumkan program pemindahan semua mangsa pihak konsulat dengan bantuan NGO hari ini.
Untuk rekod, pensyarah TISSA-UUM, Dr. Mohd Hadzrami Harun Rasit yang mengetuai rombongan tersebut memaklumkan mengenai kenaikan tiba-tiba air pada 22 November 2025 menyebabkan mereka tidak boleh pulang kepada pengurusan universiti.
Pada malam 22 November itu, hotel tempat penginapan pelajar dan pensyarah sudah diputuskan bekalan elektrik, memandangkan paras air sudah mencecah aras lutut.
Dr. Ahmad Martadha terus berhubung dengan Konsulat Malaysia di Songkhla, badan bukan Kerajaan (NGO) dan beberapa pemimpin Islam termasuk menggerakkan alumni UUM di sana untuk membantu menghantar makanan, minuman dan ubat-ubatan.
Sehingga 25 dan 26 November, UUM melalui bantuan NGO telah mengerakkan 12 bot untuk memberikan bantuan makanan dan keperluan asas kepada pelajar UUM di Wangburapa Grand Hotel, tetapi arus air terlalu deras menyebabkan bot berkenaan berpatah balik.
Berbanding di tempat lain, hotel kediaman pelajar UUM berdekatan dengan sungai dan ketinggian paras air telah melebihi satu tingkat hotel berkenaan, yang tidak memungkinkan laluan kenderaan kereta atau lori.
Pihak UUM berterima kasih kepada masyarakat sekitar yang prihatin yang telah menyediakan makanan bubur nasi untuk pelajar-pelajar dan staf UUM sepanjang di sana.
Di samping itu, UUM juga berterima kasih kepada Konsulat Malaysia dan NGO terlibat dalam usaha menyelamat serta membawa keluar pelajar dan staf UUM dari bencana banjir ini.
Disediakan oleh:
JABATAN KOMUNIKASI KORPORAT
Universiti Utara Malaysia
Sintok, Kedah
27 November 2025